MIRI: Seorang lelaki rugi lebih RM64,000 akibat terpedaya dengan penipuan sindiket Parcel Scam selepas berkenalan dental seorang lelaki melalui aplikasi Twitter.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Lim Meng Seah berkata, hasil siasatan awal mendapati mangsa berusia 51 mula berkenalan dengan Abdul Marteen yang menjanjikannya sejumlah wang USD$2 juta bersamaan RM8.32 juta. “Bagi mendapatkan wang itu, mangsa perlu membuat bayaran bagi proses undang-undang berjumlah RM24,955.95 sebelum wang berkenaan dimasuk ke akaunnya.

“Selain itu, mangsa juga diarahkan membuat bayaran kepada kastam sebanyak RM20,372.02 termasuk bayaran mengaktifkan kod akaun sebanyak RM16,168,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tambahnya, terpedaya dengan janji manis itu, mangsa membuat beberapa transaksi ke akaun berbeza sejak 9 Mac sehingga 7 Julai yang keseluruhannya bernilai RM64,496.37.

“Mangsa kemudian dimaklumkan oleh Abdul Marteen bahawa duit berkenaan merupakan skim pengubahan wang haram dan perlu membuat pembayaran lagi.

“Bagaimanapun, mangsa berasa takut dan tampil ke balai polis untuk membuat laporan,” ujarnya. Meng

Seah memberitahu, modus operandi suspek memperdayakan mangsa dengan janji wang yang tidak wujud di laman Twitter.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.