KUCHING: Jasad Datuk (Sarjan) Awang Raweng kini ditempatkan di Dewan Suarah di sini untuk diberi penghormatan terakhir.

Jasad mendiang dibawa dari kediamannya di Sri Aman kira-kira jam 8 pagi tadi dan tiba di Dewan Suarah sekitar jam 12 tengah hari.

Antara yang hadir memberi penghormatan terakhir ialah Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing dan Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion.

Mendiang meninggal dunia pada usia 104 tahun sekitar jam 2.15 petang Jumaat lalu di kediamannya di Jalan Padri, Sri Aman disebabkan uzur dan akan disemadikan di Makam Pahlawan pada jam 11 pagi esok.

Mendiang telah mendirikan rumah tangga tiga kali dengan hasil perkahwinan pertamanya dengan Jinap Minggu
dikurniakan seorang anak bernama Maling, yang kini berusia 72 tahun.

Pix – Masing (dua kiri) diiringi Jaul (kiri) dan yang lain memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Awang Raweng di Dewan Suarah Kuching, hari ini.

Dua lagi anaknya hasil perkahwinan kedua dengan Ipah Mawing ialah Doris, 63, dan Punai (meninggal).

Perkahwinan terakhirnya bersama Sema Nuli telah dikurniakan enam anak iaitu Menaul, 60, Kenyalang (meninggal dunia dua tahun lalu), Douglas,53, Panggau, 52, Duke (meninggal) dan Lily, 50.

Mendiang yang digelar “Bujang Berani” merupakan penerima pingat George Cross dan diundang setiap dua tahun ke London untuk menghadiri sambutan hari ulang tahun Ratu Elizabeth II sebagai tetamu kehormat, sekaligus mengikuti program perjumpaan semula Persatuan Victoria Cross dan George Cross.

Selain pingat George Cross, dia turut dianugerahkan Panglima Setia Bintang Sarawak oleh Kerajaan Sarawak pada 2018, Pingat Jasa Malaysia 2011 dan terdahulu Queen Elizabeth II Diamond Jubilee Medal 2012, Queen Elizabeth II Golden Jubilee Medal 2002, Queen Elizabeth II Silver Jubilee Medal 1977 dan Queen Elizabeth II Coronation Medal 1953.

Malah menerima Ijazah (Kehormat) Sarjana Pengajian Strategik oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pada 27 Oktober 2015.

Masing (dua kiri) diiringi Jaul (kiri) dan yang lain memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Awang Raweng di Dewan Suarah Kuching, hari ini.