SIMANGGANG: Pemergian Bujang Berani Datuk (Sarjan) Awang Raweng merupakan satu kehilangan besar buat negara.

Tatkala masih hangat aura sambutan Hari Malaysia ke-57, negara dikejutkan dengan berita sedih ekoran hilangnya sebutir lagi mutiara berharga yang tiada gantinya.

Satu dalam berjuta dan mendiang merupakan satu-satunya anak Malaysia yang dianugerahkan pingat George Cross oleh Kerajaan British atas keberaniannya menentang komunis.

Awang disahkan meninggal dunia sekitar jam 2 petang hari Jumaat (18 September) di kediamannya di Simanggang.

Sebelum ini, sebahagian kisahnya diceritakan kepada saya secara eksklusif hasil pertemuan pada 17 Julai lalu.

Pada 22 Julai bersempena sambutan Hari Sarawak, kisah Awang diterbitkan oleh Suara Sarawak bertajuk Diserang hendap 50 komunis.

Selepas itu, tiga hari lalu bersempena Hari Malaysia, New Sarawak Tribune pula berkongsi cerita sama dengan judul Remembering George Cross recipient’s sacrifices.

Saya sebagai penulis yang berpeluang menemuinya ketika usianya semakin senja berasa pertemuan itu sebagai momen paling berharga.

Hari ini saya membenarkan kata-kata Ketua Persatuan Veteran Tentera Kor Renjer (PVTKR) Sri Aman Sarjan (B) Empati Untol yang turut menemani saya berjumpa Awang. Kata Empati, beliau selalu berpesan agar segala yang dikeluarkannya dirakam untuk hari kemudian.

“Lalu saya disuruh merakam segala cerita yang keluar dari mulutnya. “Dia beritahu saya, segala yang diceritakan itu bagus dirakam. Nanti kalau dia sudah tiada, tiada yang boleh dijadikan rujukan,” katanya.

Selepas ini kita hanya mendengar cerita yang disampaikan oleh orang lain, bukan lagi daripada mulut seorang hero. Ketika ditemui, keadaannya semakin uzur, dimamah usia dan kudratnya kian lemah serta tidak mampu lagi berkomunikasi dengan baik, lebih banyak terbaring di atas katil dan hanya menjamah makanan bertekstur halus seperti bubur.

Malah, sejak empat tahun kebelakangan ini keadaan kesihatannya bertambah merosot ekoran penyakit paru-paru berair yang dihidapinya.

Menariknya, saya kagum apabila melihat beliau ketika dikehendaki bergambar memakai baju kod yang tergantung pingat-pingat keberanian yang diterimanya.

Dia begitu teruja dan bersemangat disuruh duduk menyambut ketibaan saya. Walaupun tidak mampu lagi menjulang senjata, namun ketokohan yang ada padanya sebagai askar cukup terserlah.

Untuk rekod, Awang berusia 104 tahun dan pernah mendirikan rumah tangga tiga kali. Hasil perkahwinan pertama beliau dikurniakan seorang anak bernama Maling, yang kini berusia 72 tahun. Selepas itu, dua cahaya mata hasil perkahwinan kedua iaitu Doris dan Punai.

Perkahwinan terakhir bersama ibu kami (Sima) yang telah dianugerahkan enam anak iaitu Menaul, Kenyalang (meninggal dunia dua tahun lalu), Douglas, Panggau, Giok (meninggal dunia semasa berumur tiga tahun) dan Lily.

Merungkai sejarah penyertaan Awang sebagai Iban Tracker, beliau datang ke Tanah Melayu sekitar Disember 1950 dan kemudian diserap masuk ke dalam Rejimen Worcestershire yang berpangkalan di Kluang.

Khidmatnya sebagai penjejak dalam pasukan tentera British bermula 1 Januari 1951 untuk tempoh enam bulan. Tindakan tidak sengaja Awang memegang darah ketika menyelamatkan Prebet G. Hughes pada pertempuran 27 Mei 1951 menyebabkannya terkena tembakan musuh.

Apabila pasukan Platun 10, Kompeni D, Batalion Pertama Rejimen Worcestershire diserang hendap oleh kira-kira 50 komunis di hutan Kluang, beberapa askar British gugur selain ada yang cedera parah… selebihnya berundur ke kem untuk mendapatkan bantuan meninggalkan Awang seorang diri bersama-sama rakan yang cedera.

Sebaik ternampak Hughes meraung kesakitan terbaring selepas cedera di kaki (lutut) dan kedudukannya sangat terdedah kepada tembakan musuh. Lalu, tanpa berfikir panjang beliau terus keluar dari tempat persembunyian dan menarik Hughes untuk diselamatkan.

Dalam insiden tersebut, Awang terpegang darah dan dikatakan telah kempunan darah… selepas itu, beliau terkena dua das tembakan masing-masing di pangkal paha dan lengan. Pada pertempuran tersebut juga Awang telah menembak tepat lima komunis sehingga terbunuh.

Keberaniannya diiktiraf dengan penganugerahan pingat George Cross pada 20 November 1951. Selepas menerima pingat George Cross, Awang diundang setiap dua tahun ke London untuk menghadiri sambutan hari ulang tahun Ratu Elizabeth II sebagai tetamu kehormat, sekali gus mengikuti program perjumpaan semula Persatuan Victoria Cross dan George Cross.

Selain pingat George Cross, Awang turut dianugerahkan Panglima Setia Bintang Sarawak oleh Kerajaan Sarawak pada 2018, Pingat Jasa Malaysia 2011 dan terdahulu Queen Elizabeth II Diamond Jubilee Medal 2012, Queen Elizabeth II Golden Jubilee Medal 2002, Queen Elizabeth II Silver Jubilee Medal 1977 dan Queen Elizabeth II Coronation Medal 1953.

Malah menerima Ijazah (Kehormat) Sarjana Pengajian Strategik oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pada 27 Oktober 2015.

Mayat mendiang dijangka dibawa ke Kuching pada 20 September untuk dikebumikan di Makam Pahlawan.

Pada petang Jumaat itu juga pasukan tentera daripada 13 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Kem Pakit membantu urusan di kediaman mendiang.