KUCHING: Penganjuran Jerayawara Kecemerlangan Pasukan Inovasi (RISTEx) Peringkat Wilayah Sarawak membuktikan komitmen kerajaan ke arah meningkatkan produktiviti dan memupuk inovasi dalam kalangan masyarakat.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, inisiatif tersebut penting dalam mencapai matlamat status negara berpendapatan tinggi.

“Dalam era globalisasi kini, usahawan perlu menerajui minda untuk sentiasa mencari pendekatan baharu dalam menjalankan perniagaan berasaskan digital.

“Ini selaras dengan visi Kerajaan Sarawak yang memberikan penekanan terhadap ekonomi digital untuk mewujudkan dimensi baharu dalam pertumbuhan pembangunan di Sarawak,” katanya Beliau berkata demikian, pada majlis perasmian penutupan RISTEx Peringkat Wilayah Sarawak yang diadakan secara dalam talian di Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), pada Jumaat.

\Menurutnya, selain mewujudkan peluang pekerjaan luas kepada golongan muda di pusat bandar dan kawasan luar bandar, ekonomi digital juga mampu mengubah cara hidup serta pengurusan perniagaan usahawan.

Ini jelas terbukti dengan anjakan ekonomi digital yang dapat meningkatkan impak ke atas setiap perkara dalam kehidupan dan cara masyarakat mengendalikan perniagaan.

“Kita perlu berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana beliau memperkenalkan inisiatif ini tiga tahun lepas dalam memajukan pembangunan sosioekonomi Sarawak.

“Seiring dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0), penggunaan digital dilihat memberi kesan positif terhadap pertumbuhan ekonomi terutamanya dalam keadaan negara yang masih berhadapan dengan pandemik Covid-19,” katanya lagi.

Berkenaan isu produktiviti, Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan menjelaskan pentingnya sumbangan produktiviti kepada ekonomi di negeri dan negara.

Jelasnya, produktiviti bukan sahaja penting untuk kejayaan jangka panjang organisasi dan syarikat malah, ia mampu menambah baik keupayaan daya saing serta keuntungan organisasi untuk kekal relevan.

Oleh itu, beliau berharap agar lebih banyak lagi organisasi lain dapat bersama-sama MPC melaksanakan program peningkatan produktiviti dan inovasi untuk menggerakkan Malaysia ke arah ekonomi maju dan negara inklusif.