KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hadir memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Awang Raweng di Dewan Suarah di sini.

Beliau tiba pada jam 9.20 pagi, dengan diiringi Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion serta kenamaan lain.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada pahlawan negara bergelar “Bujang Berani” itu ialah Kapten Kumpulan Penasihat Pertahanan Suruhanjaya Tinggi British Simon Hindmarsh bersama rombongan, bagi mewakili Ratu Elizabeth II dan kerajaan British.

Mendiang akan disemadikan di Makam Pahlawan kira-kira jam 11 pagi ini.

Mendiang Awang Raweng meninggal dunia pada usia 104 tahun sekitar jam 2.15 petang Jumaat lalu di kediamannya di Jalan Padri, Sri Aman disebabkan uzur.

Beliau merupakan satu-satunya rakyat Malaysia yang menerima pingat George Cross daripada kerajaan British dan diundang setiap dua tahun ke London untuk menghadiri sambutan hari lahir Ratu Elizabeth II.

Selain pingat George Cross, beliau turut dianugerahkan Panglima Setia Bintang Sarawak oleh Kerajaan Sarawak pada 2018, Pingat Jasa Malaysia 2011 dan terdahulu Queen Elizabeth II Diamond Jubilee Medal 2012, Queen Elizabeth II Golden Jubilee Medal 2002, Queen Elizabeth II Silver Jubilee Medal 1977 dan Queen Elizabeth II Coronation Medal 1953.

Malah, beliau juga anugerahkan Ijazah (Kehormat) Sarjana Pengajian Strategik oleh Universiti Pertahanan Nasional Malaysia pada 27 Oktober 2015.

Abang Johari memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Awang Raweng di Dewan Suarah di sini.