KUCHING: Kerajaan Sarawak akan melatih pelajar di negeri ini mencapai pendidikan bertaraf dunia menggunakan wang diperoleh daripada hasil bayaran cukai jualan minyak dan gas sebanyak RM2.9 bilion daripada Petronas.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, hasil bayaran bagi tempoh tahun lepas lalu akan digunakan untuk melaksanakan operasi pendidikan sekolah antarabangsa selain membangunkan prasarana di negeri ini.

“Hasrat kita untuk membolehkan anak-anak Sarawak daripada semua kaum terutamanya di luar bandar mendapat akses pendidikan bertaraf dunia.

“Kita mahu anak Sarawak yang menuntut di sekolah antarabangsa ini. Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan pelajar universiti terkenal seperti Universiti Cambridge,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Mesyuarat Agung TriTahunan Ke-16 Saberkas di Miri pada Ahad.

Hadir sama Presiden Saberkas Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut Abang Johari, sekolah antarabangsa itu merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak bagi membangunkan pendidikan anak-anak Bumi Kenyalang terutama dalam pendidikan menengah dan tinggi, sekali gus mempersiapkan generasi muda untuk maju setara era digital.

Katanya, penubuhan sekolah itu juga adalah khusus untuk keluarga miskin dan berpendapatan rendah yang cemerlang dalam pendidikan, tanpa mengira kaum dan agama.

“Keutamaan diberi kepada pelajar luar bandar termasuk pelajar Cina miskin yang cemerlang pelajaran.

Mereka boleh masuk ke sekolah ini yang mengguna pakai sukatan pelajaran Cambridge.

“Ia ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan GPS untuk menghasilkan pelajar yang berpengetahuan tinggi dalam bidang baharu seperti analisis siber dan analisis data,” katanya.

Pelancaran majlis pecah tanah sekolah dinamakan sebagai Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak di Batu 12 Jalan Kuching-Serian dilakukan oleh Ketua Menteri, esok.

Untuk rekod pada Ahad, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Seri Micheal Manyin Jawong berkata, sekolah berkenaan akan beroperasi pada 2023 dengan pengambilan sulung 100 pelajar Tingkatan Satu yang cemerlang.

“Sekolah itu menekankan pengambilan pelajar golongan B40 dari luar bandar. Ia juga dilengkapi dengan kemudahan asrama, makmal sains, kemudahan sukan dan permainan termasuk kemudahan sokongan lain,” katanya.

Kerajaan Sarawak juga merancang membina sekolah serupa di bandar utama di Miri, Sibu dan Bintulu termasuk sebuah lagi di pusat bandar Kuching.