KUCHING: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia(APMM) Sarawak bakal menerima sebuah daripada tiga Kapal Peronda Persisiran Pantai(OPV) gergasi bersaiz 83 meter, awal tahun hadapan.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, ketiga-tiga kapal bernilai RM700 juta itu kini dalam proses pembinaan sebelum diserahkan kepada Sarawak, Sabah dan Pahang.

Menurutnya, Sarawak dijadualkan sebagai penerima pertama aset terbabit yang dijangka akan dilancarkan di pelabuhan Klang, Selangor pada bulan November tahun ini.

“Pihak APMM dalam proses pembinaan ketiga-tiga buah kapal sejenis peronda persisiran pantai dan kapal pertama dijangka dilancarkan dan siap pada awal tahun depan.

“Kapal ini berupaya berada di laut sekitar 30 hari serta mampu membawa bekalan yang mencukupi tanpa ulang alik berbanding aset kapal lama yang bertahan dalam tempoh sekitar 12 hari sahaja,” katanya dalam satu sidang media di Bilik Perhimpunan APMM Kuching hari ini.

Tambahnya, penambahan empat buah helikopter bersaiz sederhana ( medium lift) kini dalam proses perolehan selewatnya akhir tahun ini untuk memantapkan aset milik APMM sebelum ini.

Dedahnya, APMM setakat ini hanya memiliki aset sebanyak 261 buah kapal, enam buah helikopter dan dua buah pesawat Bombardier 415.

Terdahulu, Zubil turut hadir bagi menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas oleh Mantan Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Robert Teh Geok Chuan kepada Kapten Maritim Zin Azman Md Yunus sebagai Pengarah Maritim Sarawak yang baharu.

Robert bakal bersara pada usia 58 tahun selepas menjawat jawatan Pengarah Maritim Sarawak selama lebih dua tahun bermula dari 28 mei 2018 sehingga 21 September 2020.