PENGANJURAN program Sarawak Kita Empun disifatkan sangat signifikan untuk menerangkan dasar Kerajaan GPS supaya sampai ke lubuk hati sanubari setiap rakyat negeri ini.

Dianjurkan oleh Majlis Tertinggi Pergerakan Wanita PBB, ia bertujuan mempersiapkan jentera wanita di peringkat akar umbi untuk menghadapi pilihan raya.

Manakala di peringkat Dun Beting Maro, ia turut dijayakan dengan kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat Beting Maro disertai 70 wanita mewakili 35 ranting.

Ia diisi dengan perkongsian topik berkaitan isu terkini terutama perjuangan terhadap hak Sarawak, inisiatif Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan strategi jentera wanita menghadapi pihak lawan.

Sudah pasti, program ini juga menjadi platform memperkuatkan lagi jemaah wanita menghadapi apa-apa jua cabaran di luar sana termasuk isu media sosial.

Bagi Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang-undang, Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, beliau mengingatkan jentera wanita di peringkat akar umbi supaya tidak leka isu melibatkan hak dan kepentingan Sarawak.

“Jangan menganggap tanggungjawab menjaga sumber negeri misalnya minyak dan gas tiada kaitan dengan wanita akar umbi.

“Jangan sama sekali berfikiran, ia peranan Kerajaan GPS atau orang di pusat pentadbiran semata-mata kerana semua rakyat mendapat manfaat daripadanya.

Justeru, jangan leka!

“Perkara tersebut harus diketahui dan difahami oleh semua terutama masyarakat akar umbi supaya terbit rasa sayang untuk menyokong kerajaan yang memperjuangkan hak dan kepentingan sedemikian,” katanya.

Bendahari Pergerakan Wanita PBB Sarawak itu menambah, kesemua perkara baik yang dinikmati hari merupakan rahmat Sarawak menandatangani Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau juga mengingatkan wanita untuk menguatkan parti demi mengekalkan kemenangan GPS pada PRN-12.

Terus pertahankan hak

“Kita risau akan hilang hak sekiranya parti pemerintah bertukar tangan. Oleh itu, kita tidak boleh layap (leka), kalau tidak…

“Bagaimanapun melihat kepada situasi semasa, saya yakin wanita di pelbagai peringkat akan melakukan yang terbaik,” ujarnya.

Sementara itu Timbalan Ketua Wanita II Pergerakan Wanita PBB Sarawak merangkap Ahli Parlimen Batang Lupar Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang juga Penasihat di Pejabat Ketua Menteri memberitahu, program itu juga satu saluran mendengar isu orang kampung.

Tahniah katanya apabila melihat banyak isu diselesaikan pada hari program berlangsung.

“Mungkin ada isu yang masih berlegar-legar, namun di pihak kerajaan, kami sentiasa mencari jalan penyelesaian terbaik. Insya-Allah.

“Cuma saya mengharapkan wanita di peringkat akar umbi terus membuka telinga dan mata, lalu menyampaikan terus isu yang dibangkitkan rakyat agar dapat diselesaikan segera.

“Kerana kami berhasrat untuk memastikan setiap isu tidak membelenggu dan kesejahteraan bersama menjadi keutamaan,” jelasnya.

Pengerusi program merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang pula berharap semua 86 inisiatif Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang berorientasikan kesejahteraan rakyat diketahui masyarakat.

“Justeru melalui program ini, kami memberikan penjelasan eksklusif mengenai usaha Kerajaan Sarawak dalam memastikan kesejahteraan rakyat ditangani dengan bijak.

Sampaikan inisiatif Abang Johari

“Kita sebagai jentera wanita berperanan menyampaikannya kepada rakyat… beritahu apa yang dilakukan oleh Kerajaan GPS, terangkan mengenai inisiatif Abang Johari.

“Jika kita tahu, kita kongsi. Jangan hanya disimpan! Sebaliknya kongsikan kepada semua agar mandat pucuk pimpinan kita sampai ke semua peringkat umur,” katanya.

Dalam pada itu, perlu diperjelaskan juga kepada rakyat tentang prosedur implementasi projek kerana setiap inisiatif memerlukan ruang masa pelaksanaan.

“Saya harap jentera wanita PBB dapat memastikan kemenangan GPS pada PRN-12 kelak.

“Ini misi penting ke arah memastikan Sarawak mampu mencapai status negeri maju menjelang 2030.

“Justeru, ayuh semua berdiri teguh bersama-sama PBB dan Kerajaan GPS,” tegasnya.

Adun Beting Maro yang juga Ahli Majlis Tertinggi PBB Sarawak Razaili Gapor menaruh harapan besar komitmen jentera wanita PBB Beting Maro untuk memastikan kerusi ini kekal milik PBB.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Faridah Osman dan Dayang Nurfizawaty Abang Abdul Karim, Timbalan Ketua PBB Cawangan Awang Sarbini Gapor, Naib Ketua PBB Cawangan Mohidin Bolhassan serta Ketua Pergerakan Wanita PBB Cawangan Hajijah Lueng.