KANOWIT: Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di Kanowit perlu membentuk keharmonian dan kekeluargaan.

Adun Machan Allan Siden Gramong berkata, menerusi keharmonian ini peranan dan fungsi JKKK akan dapat dilaksanakan dengan baik.

“Dengan adanya keharmonian dalam JKKK ini, maka setiap ahli JKKK dapat melaksanakan tugas dengan baik, sekali gus memberikan manfaat kepada setiap penduduk di rumah panjang.

“Di samping itu, bantuan yang disalurkan sebelum ini kepada JKKK dapat digunakan dengan baik dan betul mengikut apa yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Program Ramah Mesra Bersama Komuniti Kanowit 2020 di Rumah Gerusin, Nanga Poi Kanowit, semalam.

Dalam pada itu, Allen turut menyatakan komitmennya akan terus membantu komuniti di kawasan Kanowit dalam menyediakan pembangunan infrastruktur.

“Seperti yang pernah dimaklumkan sebelum ini, saya akan terus berusaha untuk membantu komuniti di Kanowit ini dari segi kemudahan infrastruktur demi keselamatan penduduk,” ujarnya.

Pada majlis tersebut turut disampaikan sijil pelantikan kepada tuai-tuai rumah dan penyerahan pendaftaran ahli-ahli baharu parti PBB.

Hadir sama Pemanca Lawrance Melaka.