BINTULU: Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing mengecam Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau berhubung kenyataannya yang mempersoalkan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana tidak memberi bantuan kepada petani tempatan di Sibu yang terjejas akibat banjir.

Tiong menegaskan Kerajaan Negeri di bawah PN telah mengambil langkah proaktif untuk membantu mangsa banjir di Sibu.

Katanya, seorang ahli politik perlu praktikal dalam menjaga kesejahteraan dan kebajikan rakyat di kawasan yang diwakili.

“Sebagai ahli politik, saya menyarankan hamba-hamba rakyat ini agar ikhlas ketika membantu rakyat, dan bersikap praktikal ketika menyelesaikan isu-isu masyarakat,” ujarnya dalam kenyataan semalam.

“Hujah dan perdebatan tidak menyelesaikan masalah terutamanya apabila melibatkan petani dan rakyat setempat yang terjejas akibat banjir kilat yang berulang,” tegas Duta Khas Perdana Menteri ke Republik Rakyat China itu lagi.

Malah, dedah Tiong lagi, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah mengarahkan Residen Sibu untuk mengemukakan laporan komprehensif mengenai masalah yang dihadapi oleh petani di daerah itu.

Menerusi laporan tersebut, semua pihak berkaitan akan berbincang dan menjalankan pelan yang boleh dilaksanakan bagi membantu petani yang mengalami kerugian besar pada musim banjir ini.

Adalah tidak masuk akal bahawa Kerajaan PN dikutuk kerana mengabaikan kesukaran yang dihadapi oleh petani tempatan dan tidak memberikan sebarang bantuan.

Tambah Ahli Parlimen Bintulu itu lagi, Kerajaan Negeri juga mencari penyelesaian yang paling berkesan secara proaktif dalam usaha membantu petani tempatan.

Justeru, beliau menyarankan Alice Lau supaya merenung kembali sama ada beliau telah memberikan apa-apa sumbangan kepada rakyat Sibu sepanjang beliau menjadi Ahli Parlimen di bawah Kerajaan Pakatan Harapan.

“Menuding jari pada orang lain mudah, tetapi ia pasti tidak menyelesaikan sebarang masalah untuk rakyat,” tegas Tiong.