KUCHING: Seorang wanita warga emas ditemui dalam keadaan muka berlumuran darah terbaring di kerusi pada ruang tamu kediamannya yang terletak di Kampung Rampangi, sekitar jam 6.40 pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa ketika dihubungi Suara Sarawak mengesahkan mangsa, 66, disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Umum Sarawak di lokasi kejadian.

Katanya, kejadian disedari setelah salah seorang anak saudara perempuan mangsa pergi ke lokasi bagi tujuan menziarahi mangsa di kediamannya pagi itu.

Menurutnya, mangsa disyaki maut akibat ditikam beberapa kali di bahagian muka dengan menggunakan senjata tajam oleh cucu lelakinya sendiri.

“Hasil siasatan mendapati suspek berusia 27 tahun dipercayai bertengkar dengan mangsa di kediaman terbabit pada malam sebelum kejadian kerana tidak diberi wang oleh mangsa.

“Sejurus selepas itu suspek bertindak melarikan diri dan bersembunyi di sebuah rumah kosong berdekatan lokasi kejadian sebelum berjaya ditangkap sendiri oleh orang awam,” jelasnya.

Tambahnya, suspek seterusnya diserahkan kepada pihak polis dari Ibu Pejabat Daerah Kuching sekitar jam 7.40 pagi dan ditahan untuk tindakan siasatan lanjut.

Dedahnya, suspek ketika ditahan masih dalam keadaan khayal dan ujian saringan awal air kencing terhadapnya disahkan positif dadah Methamphetaime.

Beliau turut mengesahkan semakan rekod lampau mendapati suspek pernah ditahan sebanyak dua kali pada tahun 2019 atas kesalahan jenayah berkaitan dadah.

Susulan kejadian katanya, pihak risikan IPD Kuching yang melakukan siasatan di lokasi kejadian turut menemui barangan kes iaitu sebilah pisau yang dipercayai digunakan oleh suspek untuk menikam mangsa.

Merbin selain itu juga mengesahkan mayat mangsa telah dibawa ke bilik mayat HUS bagi tujuan siasatan bedah siasat.

Ujarnya, kes diklasifikasikan dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan jika sabit kesalahan suspek berdepan hukuman gantung mandatori.