BUNGIN: Bakal penerima Skim Pembesaran Kampung (SPK) di negeri ini bertuah kerana kerajaan bukan sahaja menyediakan lot yang siap bertembok tetapi lengkap dengan kemudahan asas yang lain.

Adun Saribas Mohammad Razi Sitam berkata, di Saribas kerajaan akan membangunkan projek SPK Kampung Bungin fasa kedua dengan kos RM5.05 juta.

“Peruntukan tersebut digunakan untuk kerja menembok lot kediaman, pembinaan parit konkrit dan membina jalan berturap bagi keseluruhan kawasan.

Sementara kemudahan asas seperti paip air telah siap sewaktu pembinaan fasa pertama termasuk kerja penyambungan elektrik berserta substesen,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau tapak projek Kampung Bungin fasa kedua di sini, semalam.

Jelasnya, ia akan memberi manfaat kepada warga Kampung Bungin apabila siap nanti.

Difahamkan sejumlah 96 lot tambahan baharu akan disediakan dalam fasa seterusnya.

Razi menambah, dalam masa yang sama dua projek sama sedang dilaksanakan di Kampung Mangut dan Kampung Serembang.

Beliau menegaskan, kesediaan kerajaan melaksanakan projek itu amat signikan apabila kampung sedia ada semakin padat ekoran pertambahan penduduk.

“Projek bukan menggunakan peruntukan yang kecil, tetapi amat besar.

Misalnya di Saribas terdapat beberapa kampung terlibat, maka ini harus dihargai oleh rakyat.

“Kerajaan GPS cakna akan keperluan semasa penduduk luar bandar. Saya mengharapkan ada lagi projek seumpama ini diluluskan untuk Saribas pada masa akan datang,” ujarnya.

Razi menggesa warga Dun Saribas untuk memberikan sokongan penuh terhadap GPS pada PRN-12 akan datang.