GAJAH mati meninggalkan gading, harimau mati meninggalkan belang dan manusia mati meninggalkan nama.

Semalam, jasad mendiang Datuk (Sarjan) Awang Raweng selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Taman Budaya Kuching.

Pengorbanan mendiang atau lebih dikenali sebagai Bujang Berani Raweng berusia 104 tahun cukup bermakna untuk generasi muda.

Generasi muda harus mencontohi semangat Bujang Berani ini sebagai seorang pejuang yang menjadi kebanggaan rakyat Sarawak.

Hakikatnya, jasa dan pengorbanan Awang Raweng ketika menentang komunis pada 1951 menunjukkan anak Sarawak tampil berjuang membantu sebelum pembentukan Malaysia.

Kronologi perjuangan Awang harus diletakkan dalam peta sejarah untuk tatapan generasi muda.

Untuk rekod sejarah penyertaan Awang sebagai Iban Tracker, datang ke Tanah Melayu sekitar Disember 1950 dan kemudian diserap masuk ke dalam Rejimen Worcestershire yang berpangkalan di Kluang.

Khidmatnya sebagai penjejak dalam pasukan tentera British bermula pada 1 Januari 1951 selama enam bulan.

Tindakan tidak sengaja Awang memegang darah ketika menyelamatkan Prebet G. Hughes dalam pertempuran pada 27 Mei 1951 menyebabkannya terkena tembakan musuh.

Pasukan Platun 10, Kompeni D, Batalion Pertama Rejimen Worcestershire diserang hendap sekitar 50 komunis di hutan Kluang.

Beberapa askar British terkorban dan cedera parah meninggalkan Awang seorang diri bersama-sama rakannya yang cedera.

Sebaik ternampak Hughes meraung kesakitan terbaring selepas cedera di kaki dan kedudukannya sangat terdedah kepada tembakan musuh.

Lalu, tanpa berfikir panjang beliau terus keluar dari tempat persembunyian dan menarik Hughes untuk diselamatkan.

Awang terkena dua das tembakan di pangkal paha dan lengan serta menembak mati lima komunis.

Awang menerima pingat George Cross diundang setiap dua tahun ke London untuk menghadiri sambutan hari ulang tahun Ratu Elizabeth II sebagai tetamu kehormat, sekali gus mengikuti program perjumpaan semula Persatuan Victoria Cross dan George Cross.

Sebagai rakyat biasa, kita amat berbesar hati kerana Kerajaan Sarawak mengiktiraf mendiang Awang dengan pengebumian secara terhormat bagi menghormati sumbangan pahlawan negara itu.

Mendiang layak mendapat penghormatan itu atas sumbangan besarnya kepada negara.

Rakyat Sarawak harus memahami, tanpa mengira bangsa perlu menghormati mereka yang bersedia mengorbankan nyawa demi keselamatan negara.

Sesugguhnya pemergian mendiang yang merupakan ‘penjejak Iban’ terakhir telah meninggalkan 1001 catatan sejarah untuk generasi masa hadapan.