BINTULU: Operasi kelima mencari dan menyelamat dua pemancing hilang susulan kes bot terbalik di kawasan pelantar minyak Temana A masih belum menemui sebarang petunjuk.

Timbalan Pengarah Maritim Sarawak Kapten Zin Azman Md Yunus berkata, keluasan operasi pencarian kini mencecah sehingga 760 batu nautika persegi dari kawasan sebenar kejadian.

“Pangkalan hadapan Carilamat telah ditubuhkan di Kuala Serupai bermula 5.30 petang pada Isnin.

“Operasi pencarian melibatkan aset Maritim Malaysia KM Renggis dan Bot Kilat, bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia(JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Pasukan Polis Marin serta bot pancing,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pencarian turut dibantu pesawat CN 235 Tentera Udara Diraja Malaysia yang diatur gerak dengan keluasan pencarian 602 Batu Nautika persegi.

Beliau bagaimanapun mengesahkan operasi hari kelima yang bermula pada 7.30 pagi itu masih belum berjaya menemui sebarang petunjuk terhadap kedua-dua mangsa.

Dalam pada itu, Azman turut menasihatkan agar komuniti maritim mengutamakan keselamatan berikutan keadaan laut bergelora dan cuaca yang tidak menentu.

Ujarnya, orang ramai disarankan menghubungi Maritim Sarawak dengan segera di talian 082-432544 atau MERS 999 sekiranya berlaku kecemasan ketika berada di laut.

 

CARILAMAT…operasi Carilamat hari kelima diteruskan dengan keluasan 760 batu nautika persegi bagi mencari dua pemancing yang hilang dalam kejadian bot terbalik.