PAKAN: Penduduk di sekitar kawasan Ulu Julau di sini bakal menikmati kemudahan sukan apabila terbinanya sebuah gelanggang serbaguna di Emperan Datuk, Sungai Pinang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan Tan Sri William Mawan Ikom berkata pembinaan gelanggang tersebut menggunakan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi 2020 dengan kos RM200,000.

“Gelanggang serbaguna ini akan dapat digunakan penduduk sekitar kawasan yang terdiri daripada sekurang-kurangya 10 rumah panjang.

“Kemudahan rangkaian jalan raya yang baik menuju ke kawasan tersebut turut akan memudahkan penduduk sekitar menggunakan gelanggang ini,” katanya pada majlis ringkas penyerahan tapak projek pada Isnin.

Menurutnya lagi, kerja-kerja pembinaan gelanggang akan dimulakan dalam masa terdekat.

“Saya berharap agar kerja-kerja pembinaan gelanggang berjalan dengan lancar dan menepati kualiti dan spesifikasi ditetapkan,” katanya.