MIRI: Perbuatan keji seorang lelaki berusia 60-an memuat turun filem lucah daripada internet terbongkar selepas polis menyerbu kediamannya di Lutong di sini pada petang semalam.

Dalam serbuan kira-kira jam 3.30 petang, turut ditemui empat keping cakera video digital (DVD) dan lima cakera padat video (VCD) yang mana sebahagiannya video lucah (pornografi) kanak-kanak.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Superintenden Mohd Sabri Zainol berkata, suspek tidak mempunyai anak dan tinggal bersama isterinya.

“Hasil pemeriksaan dalam rumah berjaya merampas barang kes kerana disyaki mengakses, memiliki gambar dan video lucah kanak-kanak.

“Antara barangan lain yang dirampas adalah monitor komputer, papan kekunci, cakera keras luaran, modem, dan telefon bimbit,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.

Suspek dan barang kes dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Difahamkan, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Miri melakukan operasi itu selepas mendapat maklumat dari cawangan Bukit Aman iaitu Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) yang mensyaki suspek terlibat dalam pengedaran dan muat naik video serta gambar lucah yang melibatkan kanak-kanak.