SIBU: Polis terus memburu pengedar yang memilih pusat hiburan di bandar ini sebagai transit sindiket pengedaran dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) ACP Jasmirol Jamaluddin berkata, pihaknya berjaya menumpaskan sindiket itu dengan merampas sejumlah 4.8 kilogram dadah dengan anggaran nilai RM264,000 dalam satu serbuan di sebuah pusat hiburan di Sungai Merah jam 9 malam pada Sabtu lalu.

“Semasa serbuan, kami menjumpai dua kotak mengandungi lima bungkusan bahan kristal yang dipercayai ketamin dengan berat keseluruhannya 4.8 kilogram.

“Dadah itu dianggar dapat digunakan oleh 4,800 penagih.

“Dengan penemuan ini, kami juga mencekup sepasang suami isteri masing-masing berusia 33 dan 34 tahun yang merupakan pemilik premis kerana disyaki terlibat,” katanya pada sidang media di IPD Sibu, semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu Supt Collin Babat dan Ketua JSJN Bahagian Sibu ASP Steve Langie.

Menurutnya lagi, polis merampas wang tunai berjumlah RM24,000 dan sebuah kereta dengan nilai anggaran RM40,000.

“Hasil pemeriksaan, kedua-dua suspek didapati positif dadah serta mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

“Kami sedang menyiasat dari mana datangnya dadah yang dirampas itu.

“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari mulai Ahad ini,” tegas Jasmirol lagi. Beliau memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 39B dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.