MIRI: Kerajaan Sarawak menerusi Jawatankuasa Bencana Negeri menyalurkan bantuan kewangan sebanyak RM840,000 kepada Rumah Panjang Langat Anthony Collins di Nanga Majang, Tinjar di sini yang musnah dalam kebakaran, dua tahun lalu.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil dalam satu kenyataan semalam berkata, bantuan itu adalah untuk membantu mereka mendirikan semula rumah panjang baharu.

“Kami telah pergi ke dampa (rumah sementara) Rumah Panjang Langat Anthony Collins di Nanga Manjang bagi berbincang dengan penduduk di sana dan Majlis Pecah Tanah Rumah Panjang Nanga Majang yang baharu.

“Pada tahun ini, Kerajaan Sarawak melalui JPBN yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas telah meluluskan bantuan kewangan berjumlah RM840,000 itu bagi membantu mereka.

“Saya juga pernah menyalurkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM85,000 kepada mereka bagi penyediaan tapak baharu mereka tahun lepas,” katanya.

Tambah beliau, di kawasan itu, projek rakyat iaitu Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES N76 Phase-1) juga sedang dilaksanakan, manakala kerja-kerja baik pulih jalan pula dijangka akan bermula tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Penguang turut mengumumkan peruntukan MRP sebanyak RM15,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan RM5,000 kepada Biro Wanita JKKK.

Pegawai Daerah Beluru, Alfred Geling antara yang hadir pada majlis tersebut.