MIRI: Warga Miri sekali lagi dikejutkan dengan penemuan bersejarah apabila sebuah terowong dipercayai dibina pada zaman Jepun ditemui sekumpulan pendaki.

Datuk Bandar Miri Adam Yii berkata, disebabkan penemuan tersebut, beberapa langkah yang sewajarnya akan diambil bagi memastikan terowong itu terjaga selain menjadi tarikan baharu untuk Miri.

“Sejak dua tiga minggu lepas, beberapa penemuan menarik terungkai seperti cecair dipercayai minyak dan gas asli serta air terjun di Bukit Kanada. “

Dan, terbaharu penemuan terowong yang dipercayai dibina oleh tentera Jepun.

Jadi, kami mengusulkan beberapa cadangan kepada kementerian pelancongan dan Pejabat Residen,” katanya ketika ditemui semalam.

Beliau memberitahu, salah satu cadangan mewujudkan sebuah laluan berhampiran terowong dan menjadikannya satu tarikan baharu.

“Saya harap kementerian pelancongan akan mempertimbangkan cadangan ini kerana ia berpotensi menarik pelancong,” jelas Adam.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai penemuan sebuah terowong tempat perlindungan daripada serangan udara di kaki Bukit Kanada Miri.

Ahad lalu, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew mengadakan tinjauan ke lokasi bagi melihat sendiri penemuan menarik itu.