Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beliau telah mendapat sokongan yang kukuh dan menyakinkan dari Ahli Parlimen untuk disembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Dalam satu sidang media khas yang diadakan tengah hari tadi, Anwar berkata beliau diperkenankan untuk menyembahkan jumlah sokongan kepada Agong pada Selasa tetapi ditangguhkan kerana baginda sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara.

“Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah jatuh,” katanya sambil menambah akan menghadap Agong dalam masa terdekat.

Anwar bagaimanapun enggan mendedahkan jumlah kerusi yang beliau peroleh kerana perkara itu akan dimaklumkan dahulu kepada Agong.

Beliau turut berkata, beliau boleh membuktikan sokongan itu “secara konklusif” yang menurutnya mempunyai sokongan dua pertiga ahli parlimen.

Tambahnya, pentadbiran kerajaan baharu beliau akan diwakili oleh semua rakyat, dengan majoriti melayu bumiputera dan mewakili semua rakyat sambil memohon kesabaran rakyat dan mendoakan kesembuhan Agong.