KUCHING: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menanggung yuran pelajar di Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak disebabkan kos operasi yang mahal demi membolehkan pelajar cemerlang dari golongan miskin mendapat pendidikan yang terbaik dan kompetitif.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kos itu mampu dibiayai menggunakan pendapatan yang diperolehi khususnya daripada Cukai Jualan Negeri (SST) sebanyak RM2.9 bilion setahun daripada Petronas.

“Setiap tahun kita akan mendapat hampir RM3 bilion daripada Petronas, jadi tidak ada masalah dengan sekolah ini,” katanya ketika berucap sempena upacara pecah tanah Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak di Batu 12, Jalan Kuching-Serian di sini semalam.

Hadir sama Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Seri Michael Manyin Jawong, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian, Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee, Pengarah Jabatan Pendidikan Sarawak Abang Mat Ali Abang Masagus dan Pengarah Yayasan Sarawak Azmi Bujang.

Abang Johari berkata, komitmen itu adalah bagi melatih dan melahirkan anak Sarawak agar “duduk sama rendah, berdiri sama tinggi” dengan masyarakat antarabangsa khususnya dalam bidang teknologi.

“Ramai mereka yang keluar dari sekolah antarabangsa yang diurus oleh sektor swasta berjaya tetapi yurannya mahal.

“Tetapi anak kita dari luar bandar, petani, nelayan dan golongan berpendapatan rendah walaupun cemerlang dalam pelajaran, mereka tidak dapat masuk ke dalam sistem pendidikan yang kompetitif ini.

“Sebab itu saya melihat golongan ini tidak boleh dipisahkan, mereka harus dibantu ditempatkan dalam persekitaran pendidikan yang kompetitif agar dapat bersaing untuk mendapat keadaan yang lebih baik dari sudut pendidikan… inilah sebabnya kita menubuhkan sekolah antarabangsa ini,” katanya.

Justeru, katanya pengambilan pelajar bagi sekolah berkenaan akan melibatkan setiap anak Sarawak yang cemerlang dalam pelajaran tanpa mengira kaum dan agama.

“Sekolah ini adalah untuk semua kaum termasuk Cina. Biarlah anak-anak kita bersaing sesama sendiri dalam pendidikan,” katanya.

Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dipisahkan, mereka harus pendidikan,” katanya.