PUSA: Sebanyak 29 penduduk yang terjejas akibat hakisan tebing sungai di Kampung Tengah Tambak, petang Selasa lalu ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Perkara tersebut disahkan oleh Setiausaha Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Betong Florence Bulan Johnny.

Katanya, Pusat Kegiatan Ekonomi dijadikan PPS yang dibuka bermula jam 9 pagi semalam.

“Ia melibatkan 29 penduduk dari empat kediaman yang terjejas.

“Rumah pertama milik Zaini Seman dihuni lima sekeluarga, sementara kediaman kedua milik Yusuf Tunjoi pula dihuni 10 sekeluarga.

“Rumah ketiga (Muhi Mat) dan keempat (Rosli Mat) masingmasing dihuni lapan dan enam sekeluarga,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Jelasnya, Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Betong juga sudah dimaklumkan untuk membantu di PPS termasuk pasukan sukarelawan.

“Turut bersedia ialah pihak kesihatan bagi tujuan sanitasi dan pemeriksaan lain.

“Mungkin akan ada agensi yang membantu termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Kesemua mereka ini akan tinggal di PPS buat sementara waktu sehingga keputusan penuh dimuktamadkan melalui mesyuarat khas esok (hari ini),” ujarnya.

Pegawai Tadbir di Pejabat Residen Bahagian Betong itu turut menegaskan segala prosedur operasi standard (SOP) keselamatan dipraktikkan di PPS demi keselamatan bersama.