SERIAN: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meluangkan masa sehari melakukan lawatan kerja di Serian.

Lawatan kerjanya dimulakan dengan memberi penghormatan terakhir kepada bekas Adun Kedup dan Tarat mendiang Frederick Bayoi Manggie yang meninggal dunia pada Isnin lalu di rumahnya di Taman Pasir Jalan Serian.

Kemudian, Abang Johari yang juga Adun Satok merasmikan hotel sulung di Serian, Hotel Roxy sebelum mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pembangunan Projek Negeri (SDCCM) di lokasi sama.

Waktu tengah hari Pengerusi GPS itu menghadiri program pemimpin bersama-sama rakyat di Dewan SJK Chung Hua Serian sebelum melawat Kompleks Pejabat Kerajaan Negeri dan Pusat Konvensyen Serian.

Lawatannya berakhir di Loji Rawatan Air Slabi dan jejambat kedua Serian.

Bagi pemilik Hotel Roxy Lee Chin Teck, beliau amat bersyukur dengan kehadiran Ketua Menteri yang kemudiannya menggunakan kemudahan di hotelnya untuk bermesyuarat.

“Hotel Roxy Serian ini adalah yang keempat selepas di Batu Tiga, Padungan dan Sematan.

“Sebagai pengendali industri perhotelan, kami amat bersyukur dengan subsidi pinjaman yang ditanggung oleh Kerajaan Sarawak,” katanya.

Menurutnya, pihaknya menderita selama tiga bulan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dikuatkuasakan pada Mac lalu.

“Kami tidak beroperasi dalam tempoh terbabit tetapi Kerajaan Sarawak menghulurkan pelbagai bantuan untuk menyokong kita.

“Namun, dalam PKPP ini pula, kita menerima sambutan yang menggalakkan daripada penduduk Sarawak apabila menyokong industri pelancongan tempatan,” jelasnya.

Katanya, hotelnya sentiasa penuh ditempah terutamanya pada hujung minggu di Sematan.

“Saya juga berazam untuk meneroka aktiviti pelancongan di Teluk Serabang apabila pandemik Covid-19 semakin pulih,” ujarnya.