BINTANGOR : Pusat Khidmat Parlimen P.206 Tanjong Manis menyediakan dana khas melalui untuk membantu pelajar di kawasan itu yang cemerlang dalam akademik dan melanjutkan pengajian ke pusat pengajian tinggi.

Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab berkata, sumbangan dana yang disalurkan melalui Bantuan Pelajar P.206 itu khas untuk mereka yang berjaya menyambut pengajian ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Sehubungan itu katanya, mana -mana pelajar yang menerima tawaran untuk ke IPT dialu-alukan mengemukakan permohonan bagi mendapatkan bantuan berkenaan.

“Kita menyediakan dana khas ini bagi memastikan generasi muda Tanjong Manis agar tidak tercicir dalam arus pendidikan dengan harapan melahirkan modal insan berkualiti selain memastikan mereka menikmati kehidupan lebih terjamin pada masa depan,” katanya selepas menghadiri Majlis penyerahan sumbangan Siswa 2020 anjuran PBB cawangan Meradong.

Beliau berkata, pelajar masing-masingnya menerima RM300 bagi yang melanjutkan pengajian peringkat sijil dan diploma, RM400 (ijazah) dan RM500 untuk peringkat yang lebih tinggi.

Ujarnya, sebahagian besar penerima terdiri daripada pelajar dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana yang memerlukan suntikan kewangan untuk melanjutkan pelajaran.

“Walaupun jumlahnya tidak banyak namun sedikit sebanyak melegakan pelajar dan ibu bapa mereka.

“Kriteria pemberian tertakluk kepada penerimaan pelajar IPTA dan IPTS yang diiktiraf oleh kerajaan dan tidak berdasarkan pencapaian jumlah gred di samping berasal dan pengundi di kawasan Parlimen Tanjong Manis ” katanya.

Beliau memberi jaminan bantuan itu akan diteruskan pada masa akan datang dengan memberi fokus terhadap aspek pendidikan untuk anak-anak muda di kawasan parlimen berkenaan.

“Sumbangan ini juga membuktikan kerajaan amat mengambilberat masalah rakyat di samping tidak mahu mereka ketinggalan dalam arus pembangunan,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyaksikan penyerahan borang kemasukan seramai 52 orang ahli baharu Pemuda Meradong.

Pada masa yang sama, Saberkas Meradong turut menyampaikan khemah kepada ahlinya yang terjejas akibat kejadian ribut baru-baru ini.

Persatuan Gusti Lengan Meradong juga mendapat suntikan dana daripada Saberkas bagi menyertai pertandingan gusti lengan peringkat negeri tidak lama lagi.

Hadir sama, Pengerusi Saberkas Meradong, Halmi Morsili dan Setiausaha Saberkas Meradong, Qalam Iko dan Ketua Kampung Zon Satu, Ali Mat.