KUCHING: Kebakaran boleh dicegah sekiranya setiap individu mempunyai kesedaran dan pengetahuan dalam mencegah kebakaran, kata Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi II Willie Mongin.

“Kebakaran yang berlaku kebelakangan ini bukan sahaja mengakibatkan mangsa kehilangan tempat tinggal dan kerugian harta benda, malah ada yang kehilangan ahli keluarga.

“Perkara sedemikian dapat dielakkan sekiranya langkah pencegahan kebakaran sentiasa diamal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Alat Pemadam Api di Dewan Serba Guna Kampung Punau kepada Persatuan Segu Bunuk.

Dalam perkembangan lain Ahli Parlimen Puncak Borneo itu berkata, Pasukan Bomba Komuniti di bawah Bomba Zon Samarahan akan ditubuhkan.

“Penubuhan pasukan ini untuk memperluaskan kesedaran awam akan kepentingan pencegahan kebakaran dan tindakan awal sekiranya berada dalam kecemasan.

“Penduduk kampung terutamanya belia digalak untuk menyertai pasukan ini bagi mendapatkan pengetahuan supaya mereka dapat bertindak untuk memberikan bantuan awal kepada mangsa sekiranya berlaku kebakaran atau kecemasan,” katanya.

Sebanyak 100 alat pemadam api diperuntukkan di bawah projek Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk diagihkan kepada tujuh kampung yang terlibat.

Pada majlis yang sama, Willie turut menyerahkan enam cek keseluruhannya bernilai RM101,000 kepada kelab, persatuan dan gereja yang bernaung di bawah Persatuan Segu Bunuk untuk membiayai projek dan aktiviti yang dirancang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Siburan Sulaiman Ahmat dan Pengerusi DBNA Cawangan Penrissen Aloysious Kuyong antara yang turut hadir.