SERIAN: Kerajaan Sarawak merancang untuk menjadikan Siburan sebagai sebuah daerah penuh, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Bagaimanapun katanya, ia masih dalam kajian. Ini penting bagi memastikan pentadbiran di Serian lebih tersusun.

“Serian merupakan kawasan pertanian yang boleh dimajukan, termasuk sektor pelancongan kerana lokasinya tidak jauh dari Kuching.

“Sehubungan itu, kita akan mengkaji Siburan sebagai satu daerah penuh ekoran Serian membangun dengan cepat melalui kemudahan terkini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Serbaguna SJK Chung Hua di sini, semalam.

Sementara itu, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Seri Michael Manyin Jawong memuji usaha Kerajaan Sarawak kerana telah menyediakan pelbagai kemudahan asas kepada penduduk Serian dan bahagian ini telah mencapai 99.9 peratus liputan bekalan elektrik.

“Ini satu perkara yang amat membanggakan bagi Serian kerana banyak lagi kawasan yang masih mencapai 70 ke 80 peratus liputan bekalan elektrik.

Tetapi kita di Serian telah mencapai liputan sebanyak 99.9 peratus.

“Manakala bagi bekalan air pula, Serian sudah mencapai liputan bekalan sekitar 90 peratus,” ujarnya.

Dalam hal berkaitan, Manyin berkata Kerajaan Sarawak terus memastikan projek yang telah diluluskan di Serian akan dilaksanakan mengikut jadual.

Manyin menjelaskan, antara projek yang telah diluluskan termasuk Kompleks Bahagian Serian yang akan siap pada Mei 2021.

“Pada awalnya, projek ini dijadualkan siap pada Februari tahun depan, namun tertangguh akibat penularan wabak Covid-19 di seluruh negeri.

“Ini merupakan satu projek besar yang menggunakan belanja berjumlah RM130 juta,” jelasnya.

Selain itu, Manyin turut mendedahkan projek kedua di Serian iaitu pusat konvensyen yang kini 55 peratus siap dengan kos RM80 juta.

“Sebagai salah seorang Adun di kawasan ini, saya menegaskan ini bukan janji air liur (janji kosong) apabila Kerajaan Sarawak berusaha membawa pembangunan di bahagian ini,” tegasnya lagi.