SERIAN: GPS akan meletakkan calon di kerusi Opar menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12), kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, penyandang kerusi Opar Datuk Ranum Mina memenangi Dun terbabit di bawah platform Barisan Nasional (BN) sebagai calon langsung pada PRN-11.

“Oleh itu, kita akan berjuang menawan semula kerusi itu (untuk GPS).

“Sesiapa pun calon kita akan umumkan apabila tiba masanya kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pemimpin bersama rakyat di Dewan SJK Chung Hua di sini semalam.

Daripada lapan kerusi Bidayuh, hanya Opar yang di luar lingkaran GPS selepas Ranum menyatakan pendirian bersama-sama PSB sehingga kini.

Dalam pada itu, Abang Johari yakin yang kelapan-lapan kerusi Bidayuh itu kekal menjadi milik GPS sekiranya kaum tersebut bersatu.

Terdahulu, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS memberitahu, Kerajaan Sarawak (Malaysia) akan bekerjasama dengan Kerajaan Indonesia di bawah Sosek Malindo.

“Kemudahan di sempadan Sarawak (Malaysia) dan Kalimantan Barat (Indonesia) akan dipertingkatkan kerana kita merancang untuk membina pejabat perdagangan di Pontianak.

“Ia akan memudahkan produk-produk makanan dari Sarawak dipasarkan di negara jiran itu,” ujarnya.

Secara keseluruhannya, beliau menjelaskan lebih RM400 juta projek rakyat untuk kawasan Serian.