KUCHING: Satu mayat lelaki berpakaian lengkap ditemui terapung berhampiran perlabuhan kapal Jalan Dermaga, Bintawa sekitar jam 8.48 pagi, hari ini.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak menerusi satu kenyataan mengesahkan mayat ditemui orang awam sebelum melaporkannya kepada pihak bomba.

Katanya, mayat terbabit berjaya dibawa naik oleh pasukan operasi daripada Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Tabuan Jaya ke Pos Kawalan bomba bagi mengenal pasti identiti mayat.

“Mayat mangsa telah disahkan oleh penyelia kilang merupakan kru kapal yang dilaporkan hilang pada Rabu lalu.

“Mangsa dikenali sebagai Santosh Kumar, 23,” jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, operasi mencari dan menyelamat kes mangsa hilang yang telah dimulakan pada Rabu hari hingga hari ini seterusnya ditamatkan pada jam 9.30 pagi.

Terdahulu, beberapa agensi dalam kalangan Polis Diraja Malaysia, Polis Marin, serta LSS hadir ke lokasi bagi bersama-sama membantu operasi pencarian.