MIRI: Seorang lelaki tersepit di tempat duduk penumpang hadapan setelah kenderaan dinaikinya terlibat dalam kemalangan di Jalan Gunung Subis, semalam.

Mangsa antara tiga individu masing-masing berada pada dua buah kenderaan motokar yang bertembung dalam kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 10.21 malam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak menerusi satu kenyataan mengesahkan pihaknya ada menerima laporan tersebut daripada pihak awam.

Dedahnya, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah terus dikerahkan ke lokasi kejadian bagi membantu operasi menyelamat mangsa.

“Setibanya di lokasi mendapati dua orang lelaki telah tersepit pada sebuah kenderaan jenis kereta saloon namun salah seorang daripadanya berjaya keluar dengan sendiri.

“Pasukan operasi berjaya mengeluarkan seorang mangsa tersepit di tempat duduk penumpang sebelum mangsa diserahkan kepada pihak Ambulans untuk tindakan rawatan lanjut,”jelasnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Sementara itu katanya, seorang individu lelaki iaitu pemandu sebuah lagi kenderaan yang terlibat kemalangan disahkan hanya mengalami kecederaan ringan sahaja.

Ujarnya, operasi menyelamat seterusnya ditamatkan pada jam 10.58 malam.