TAHUKAH anda, pada 30 September ini iaitu Rabu depan, penangguhan moratorium pinjaman enam bulan yang bermula pada April lalu akan tamat?

Hanya tinggal beberapa hari lagi untuk kita yang mempunyai hutang sewa beli membuat persiapan membayar semula hutang yang ditangguh sebelum ini.

Sebenarnya sejak awal bulan lalu, pihak bank telah menguar-uarkan pelbagai bantuan dan maklumat kepada masyarakat tentang bayaran moratorium.

Bank Negara Malaysia (BNM) turut menyiarkan soalan-soalan lazim mengenai sewa beli dan produk pembiayaan Islam berkadar tetap sebagai panduan umum kepada masyarakat.

Jika sebelum ini penangguhan pembayaran enam bulan adalah secara automatik, yang bermakna tiada permohonan diperlukan.

Namun untuk peminjam yang ingin melanjutkan moratorium, harus membuat permohonan bermula 7 Ogos lalu.

Ya, anda perlu hadir ke bank untuk membuat permohonan berkenaan dan ini dinyatakan oleh Timbalan Menteri Kewangan II Mohd Shahar Abdullah dalam satu majlis di Putrajaya bulan lalu.

Kalau tidak hadir ke bank, sudah pastinya bank tidak tahu masalah yang dihadapi oleh pemohon.

Moratorium lanjutan ini bukannya automatik seperti yang diberikan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari, tegas Mohd Shahar.

Adakah anda sudah bertindak atau menunggu saat-saat akhir untuk pergi ke bank?

Bagi yang tiada masalah kewangan, pasti tiada masalah untuk membayar hutang bank.

Tetapi tahukah anda bermula Oktober, para peminjam perlu menyambung pembayaran hutang bank, namun sejumlah kategori mendapat beberapa kemudahan.

Lanjutan moratorium dan bantuan bank bersasar ini lebih berfokus untuk golongan yang benar-benar memerlukan.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Abd Rahim Bakri pernah menyatakan, bank di negara ini berkemampuan melaksana pakej moratorium lanjutan kerana mempunyai dana mencukupi untuk menanggungnya.

Kerajaan mengambil kira maklum balas orang ramai, yang sebahagiannya belum bersedia secara kewangan bagi menyambung pembayaran hutang mereka. Ini yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Julai lalu dan ini satu berita gembira kepada rakyat.

Jadi, anda pasti ada menerima pesanan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengingatkan bahawa moratorium akan tamat pada 30 September ini.

Berhubunglah dengan pihak bank anda kerana institusi kewangan akan memberikan maklumat lanjut tentang penyambungan semula pembayaran selepas tempoh penangguhan.

Antara pilihan yang diberikan termasuk melanjutkan tempoh bayaran balik atau menambah jumlah bayaran ansuran bulanan.

Justeru, selaku peminjam/pelanggan, anda dinasihati supaya berbincang dengan institusi kewangan anda jika perlu mengubah jadual pembayaran balik pinjaman/ pembiayaan disebabkan keadaan kewangan mereka sekarang.

Rancangan pengurusan kewangan perlu dilakukan kerana bebanan kewangan jika tidak ditangani dengan betul akan membawa malapetaka. Pada Rabu, Perdana Menteri dalam Perutusan Khas Kita Prihatin berkata, hingga 11 September lalu institusi perbankan berbincang dengan lebih 1.4 juta peminjam dan lebih 380,000 peminjam mengesahkan yang mereka benar-benar memerlukan bantuan – bermakna sebanyak 98 peratus permohonan moratorium lanjutan dan bank bersasar diluluskan setakat ini.

Meskipun demikian, Perdana Menteri sempat memberi nasihat kepada orang awam khususnya peminjam yang masih belum memohon untuk segera menghubungi institusi perbankan masing-masing untuk membuat permohonan lanjutan moratorium.

Rata-rata semua bank yang mengambil inisiatif untuk membuka operasinya pada hujung minggu untuk membantu pelanggannya yang menghadapi kekangan kewangan memohon bantuan bayaran pascamoratorium.

Ayuh, rebut peluang ini untuk memohon lanjutan bayaran moratorium khususnya mereka yang sangat memerlukan. Jangan tunggu saat-saat akhir!