SELANGAU: Projek Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) merupakan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak di bawah GPS dalam membantu golongan yang memerlukan di kawasan Dun Tamin.

Adun Tamin Ir Christopher Gira Sambang berkata, sebahagian daripada projek PPRMS 2019 (bantuan bahan binaan) di kawasannya telah siap dilaksanakan secara gotong-royong.

“Antara rumah panjang yang menerima bantuan ini ialah Rumah Chendai di Pelugau Balingian, Rumah Mawan (Sungai Anus Balingian), Rumah Chindun (Kemena Balingian), Rumah Albert Lapuk (Pelugau Balingian), Rumah Miggi (Jalai Spur, Batu 21 Sibu) dan Rumah Uta (Pelugau Balingian),” katanya ketika dihubungi pemberita, semalam.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak menyalurkan peruntukan sebanyak RM1 juta setahun untuk pelaksanaan PPRMS di kawasan Dun Tamin.

“Peruntukan tersebut disalurkan dua kali setahun, dengan setiap penyalurannya adalah sebanyak RM500,000 ,” jelasnya.

Gira berkata, peruntukan untuk PPRMS bagi tahun 2020 di kawasan Dun Tamin masih belum digunakan.

“Selepas PPRMS 2019 siap dilaksanakan, peruntukan untuk PPRMS 2020 akan dikeluarkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Gira menyeru penduduk rumah panjang yang telah dibekalkan dengan bahan binaan menerusi PPRMS supaya melaksanakan kerja pembinaan dengan segera.

“Ini penting kerana peruntukan PPRMS seterusnya akan disalurkan setelah kerja pembinaan itu siap sepenuhnya,” katanya.

Justeru, beliau berharap penduduk rumah panjang yang sudah memohon PPRMS dan belum menerima bahan binaan supaya bersabar.

“Saya berharap mereka yang sudah memohon tetapi belum menerima bahan binaan agar bersabar.

Kalau peruntukannya sudah ada, saya akan salurkan bantuan tersebut,” tambah beliau.

Projek PPRMS merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak untuk meneruskan kesinambungan usaha membantu rakyat miskin di Sarawak selepas Kerajaan Persekutuan menghentikan usaha tersebut.

Projek ini akan memastikan mereka yang layak menerima memiliki rumah selesa untuk didiami.