KUCHING: Kerajaan Sarawak menghantar pencalonan kepada Unesco – tapak warisan dunia – untuk mengiktiraf keringkam yang merupakan khazanah berharga negeri ini, kata Pengurus Besar Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs) Mohd Shahren Mohd Yusri.

Katanya, usaha itu mendapat sokongan padu daripada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bagi memartabatkan keringkam di persada dunia.

“Objektif utama Projek Inovasi Warisan Songket dan Keringkam Sarawak yang diterajui oleh Old Kuching Smart Heritage (Okshe) untuk membangunkan ekosistem bersepadu, lestari dan mengekalkan warisan bernilai ini.

“Inisiatif ini dilakukan oleh Kerajaan Sarawak melalui Centexs, Okshe dan agensi lain supaya terus membantu komuniti usahawan di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jualan Bulan September dan Perasmian Kaleng Kueh di Galeri Songket dan Keringkam di Jalan Masjid di sini semalam.

Isteri Ketua Menteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang merasmikan majlis berkenaan yang turut dihadiri Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Sabariah Putit.

Kata Shahren lagi, Sabati yang dipengerusikan oleh isteri Ketua Menteri banyak membantu usahawan sejak 1982 melalui industri kraf tangan.

“Justeru, kita harap Centexs melalui unit komersial mampu memberi impak yang sama kepada ekonomi di Sarawak.

Dengan adanya platform digital iaitu SARAtage, kami bekerjasama dengan pelbagai pihak seperti SaraPride, Centexs Heritage Fashion (CHF), komuniti songket dan komuniti keringkam di seluruh Sarawak untuk mempromosikan kraf tangan ini,” jelasnya.

Menurutnya, dengan kerjasama Centexs sebagai badan pemasaran dan jualan, ia mewujudkan galeri yang menjadi platform pemasaran dan jualan bagi komuniti songket dan keringkam di negeri ini.

“Galeri ini juga mengguna pakai teknologi digital yang membolehkan pengunjung mendapat maklumat lanjut mengenai proses tenunan, sulaman termasuk pembayaran tanpa tunai melalui aplikasi Sarawak Pay.

“Produk ini merupakan titik peluh usahawan tempatan yang sebelum ini tidak mempunyai ruang sesuai untuk memasarkan produk mereka,” ujarnya.

Mengulas mengenai jualan pada September pula, Shahren memberitahu, orang ramai bakal menikmati tawaran diskaun bagi produk inovasi berasaskan songket dan keringkam.

Katanya, tawaran ini dibuka kepada orang awam bermula semalam hingga 26 September ini.

“Diskaun istimewa sebanyak 60 peratus diberikan bagi mempromosikan produk inovasi untuk menarik lebih ramai pengunjung ke galeri ini.

“Namun, songket seperti samping dan keringkam asli tetap dijual pada harga asal untuk memelihara prestij produk berkenaan dan mengekalkannya pada kelas premium,” ujarnya lagi.

Hadir sama Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali.