KUCHING: Pertandingan Video Pendek yang dianjurkan oleh Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (Tegas) dilanjutkan hingga 4 Oktober ini.

Sebelum ini, belia Sarawak dipelawa untuk menyertai pertandingan berkenaan yang bertemakan “81 Inisiatif Kerajaan Sarawak” bermula 14 Julai hingga 18 September.

Pertandingan Video Pendek merupakan salah satu usaha Tegas untuk membangunkan modal insan dan melahirkan belia Sarawak kreatif.

Ia juga bagi melahirkan belia Sarawak berdaya saing, sekali gus mempunyai jati diri dan berjiwa menyayangi Sarawak. Selain itu, program itu diharapkan dapat memberi pendedahan serta pemahaman kepada belia dan rakyat Sarawak mengenai kepentingan 81 Inisiatif Kerajaan Sarawak.

Pertandingan itu merupakan kerjasama Tegas, Kementerian Belia dan Sukan, Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) dan Sarawak Media Grup Sdn Bhd (SMG).

Penyertaan pertandingan boleh dibuat secara individu atau berkumpulan dengan maksimum lima ahli.

Johan pertandingan untuk kedua-dua kategori akan menerima wang tunai RM2,000 dan sijil penghargaan, naib johan wang tunai RM1,000 dan sijil penghargaan manakala di tempat ketiga wang tunai RM500 dan termasuk sijil penghargaan.

Seterusnya hadiah wang tunai RM200 dan sijil penghargaan diberikan kepada tujuh pemenang sagu hati.

Setiap video mesti berasaskan salah satu daripada 81 Inisiatif Kerajaan Sarawak dengan durasi video antara lima hingga tujuh minit.

Penyertaan adalah percuma dan terbuka kepada belia Sarawak yang berumur 18 hingga 35 tahun.

Mereka yang berminat boleh mendaftar di pautan www.tinyurl.com/ videotegas81.