BETONG: Laungan semangat 654 perwakilan diiringi nyanyian lagu March PBB menggegarkan Bumi Betong dalam sesi raptai Konvensyen Khas PBB Zon Betong di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, hari ini.

Tinjauan Suara Sarawak mendapati persiapan akhir Konvensyen tampak bersedia sepenuhnya bagi menerima kehadiran perwakilan dari 14 cawangan PBB dan tetamu istimewa Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Open selaku Yang Dipertua PBB.

Sesi raptai turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua yang juga Pengerusi Jawatankuasa Konvensyen Khas PBB Zon Betong Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Ketua Pergerakan Wanita PBB Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Konvensyen bakal memuatkan pembentangan perkara menarik termasuk Perkongsian Strategik: Pembangunan Infrastruktur oleh Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Julaihi Narawi mulai jam 8.30 pagi, ini diikuti Projek Utiliti – Bekalan Elektrik dan Bekalan Air Bersih di luar bandar oleh Menteri Utiliti, Datuk Seri Dr Stephen Rundi.

Selepas itu, penerimaan usul yang diutarakan Naib Yang DiPertua Parti PBB, Datuk Julaihi Narawi.

Selepas perasmian, pembentangan Perkongsian Strategik diteruskan yang bertajuk Pembangunan Usahawan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar diikuti Pentadbiran Tanah di Sarawak: Memastikan Hak Rakyat Ke Atas Tanah Terpelihara oleh Timbalan Pengarah Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Awang Zamhari Awang Mahmood dan Taklimat Pilihan Raya Untuk Petugas-Petugas Pilihan Raya Parti PBB Sarawak Zon Betong.

Peranan dan Tanggungjawab Ejen-Ejen Parti dalam Pilihan Raya oleh Datu Takun Sunggah dan Undang-Undang dan Peraturan Pilihan Raya – Perjalanannya oleh Dato Awang Bemee Awang Ali Basah.

Lafaz ikrar ahli-ahli parti diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.36 Layar yang juga Ketua Pergerakan Pemuda, Gerald Jabu dibacakan selepas perasmian konvensyen.

Lagu March PBB dan GPS Utamakan Sarawak bakal bergema di dewan itu nanti.

Sementara itu, Fatimah ketika ditemui memaklumkan Konvensyen yang bakal berlangsung mempunyai kelainan sendiri.

Katanya, hasil pemerhatian terhadap sesi raptai jelas menunjukkan semangat padu ditunjukkan oleh ahli perwakilan yang terlibat.

“Mereka sangat bagus dan ada kelainan.

“Dari situ kita dapat rasa bahawa sokongan mereka terhadap GPS dan PBB adalah sangat bagus,” ujarnya.