KABONG: Kegigihan penternak muda Ewan Asyraf Majid sewajarnya dijadikan inspirasi oleh belia agar melihat sektor pertanian dan ternakan sebagai kerjaya yang menguntungkan, dan mempunyai masa depan yang cerah.

Lebih-lebih lagi Bahagian Betong, Sarikei dan Mukah kini dijadikan kawasan Bakul Makanan oleh Kerajaan Sarawak.

Sudah pasti ini akan mengembangkan sektor pengeluaran makanan termasuk ternakan.

Ewan yang mengendalikan Sejali Agro Farm yang mula bertapak sejak 2014, bukan calang-calang anak muda.

Beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi Industri Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Bagaimanapun, minat yang mendalam dalam bidang tersebut tidak membataskan potensinya.

Perusahaan yang dikendalikannya kini bermula daripada minat bapanya Majid Amit Zainuddin dalam ternakan kambing.

“Setelah tamat pengajian di UMP pada 2016, saya terus mengurus perniagaan keluarga ini.

“Walaupun saya bukan penuntut bidang ternakan, tetapi asas pengurusan perniagaan itu ada.

Malah, saya bukan asing dalam ternakan kerana minat yang tinggi. “Jadi, tidak hairanlah setiap kali musim cuti semester, saya selalu bekerja di ladang-ladang ternakan sekitar Pahang untuk menimba pengalaman.

“Alhamdulillah, saya mendapat sokongan padu daripada bapa dan emak selain isteri tercinta,” kata pemuda berusia 27 tahun itu.

Namun ujarnya, cabaran pada tahun pertama cukup getir khususnya ketika meneroka pasaran dan membina jaringan dengan pembekal serta penternak lain.

Menurutnya, pandemik Covid19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya menjadi cabaran terbesar pada tahun ini.

“Sepanjang tempoh PKP, kami beroperasi seperti biasa, tetapi jualan untuk daging hidup (segar) sedikit berkurangan ekoran masyarakat tidak dibenarkan membuat kenduri.

“Namun, produk sejuk beku amat menggalakan dan terus melonjak.

“Sementara untuk ibadah korban, tahun ini kami menerima permintaan yang amat tinggi.

Malah lebih banyak daripada tahun sebelum ini yang tiada Covid-19… saya sangat bersyukur semakin ramai yang mengenali Sejali Agro Farm,” ujarnya.

Jelasnya, Sejali Agro Farm terletak di Kampung Alit, Kabong.

“Secara dasarnya, Sejali Agro Farm mempunyai misi untuk menjadi pemudah cara kepada umat Islam di Daerah Kabong dan kawasan sekitarnya melaksanakan tuntutan agama seperti akikah dan ibadah korban.

“Sementara visi kami pula menjadi pembekal utama kambing dan lembu di Bahagian Betong menjelang 2022,” terangnya.

Ewan menambah, Sejali Agro Farm kini mempunyai pasaran sendiri di Kabong, Saratok, Sarikei dan Sibu.

CITA-CITA LIMA TAHUN AKAN DATANG

Ewan merancang untuk membina taman haiwan atau zoo mini bagi menambah tarikan, sekali gus bakal menggalakkan masyarakat untuk melawat, datang ke sini sambil belajar mencintai binatang.

“Insya-Allah ini merupakan cita-cita kami dalam tempoh lima tahun ke depan.

“Ini termasuk rancangan mewujudkan Sejali Agro Farm sebagai agro pelancongan yang terkenal di Daerah Kabong yang dilengkapi taman haiwan, kemudahan inap ladang sambil menjadi tempat menuntut ilmu dalam penternakan kambing,” jelasnya.

Sejali Agro Farm menawarkan kambing dan lembu untuk akikah dan ibadah korban, susu kambing segar, produk sejuk beku, inap ladang serta kemudahan berkursus dan sembelihan.

Mereka memiliki kambing jenis Saanen iaitu baka tenusu, biri-biri dan kambing Katjang (kampung).

Tambahnya, Sejali Agro Farm menyediakan ternakan untuk ibadah pelanggan dalam keadaan yang terbaik, khidmat menyembelih dan melapah secara percuma dan penghantaran.

“Ringkasnya, jika pelanggan menggunakan khidmat kami, ia lebih cepat dan mudah.

“Saya mengharapkan suatu hari kelak Sejali Agro Farm bertambah maju supaya dapat meningkatkan perkhidmatan kepada pelanggan.

“Saya juga ingin berterima kasih kepada IADA Kalaka Saribas Betong, (Fama Bahagian Betong dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Bahagian Betong yang banyak membantu operasi kami selama ini.

“Tanpa bimbingan, bantuan dan nasihat daripada mereka, kami sukar berkembang sehingga kini,” katanya.

Beliau turut menyaran generasi muda menceburi apa-apa juga bidang dengan bersungguh-sungguh selain mengelak membuang masa dan tidak lalai.

INAP LADANG JANJIKAN PENGALAMAN BERHARGA

Sejali Agro Farm menawarkan pengalaman baharu kepada orang ramai yang inginkan suasana damai, indah dan jauh daripada kesibukan dan hiruk-pikuk kota.

Di sini orang ramai akan merasai indahnya kehidupan di kampung.

Anak-anak berpeluang bermain dengan kambing, lembu dan kalau bernasib baik boleh kejar-mengejar dengan angsa.

Inap ladang di Sejali Agro Farm merupakan kemudahan dua bilik yang memiliki ruang tamu serta keperluan lain seperti televisyen, penyaman udara dan dapur yang dilengkapi peti sejuk serta peralatan memasak selain tempat letak kereta.

Orang ramai juga boleh bersiar-siar ke tempat menarik antaranya Santai ZK Pantai Alit (tiga kilometer), Pantai Tanjung Kembang (10 kilometer), pekan Kabong (13 kilometer) dan menikmati mi udang di Nyabor (tiga kilometer).