KUCHING: Serba Dinamik mengurangkan kebergantungan ke atas industri minyak dan gas dengan memperkenalkan penyelesaian teknologi inovatif di kawasan luar bandar apabila mendirikan kawasan industri pintar di Sarawak serta Johor.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah berkata, sasaran kepelbagaian syarikat disokong dengan fokus pada segmen berkaitan teknologi.

“Kami berhasrat mengurangkan pendapatan sektor gas dan minyak daripada 85 peratus kepada 75 peratus. Ini memungkinkan kami mempunyai kedudukan kewangan lebih kukuh pada masa depan sambil menangani turun naik pasaran.

“Bagi bukan sektor ini, kami menyasarkan sumbangan pendapatan hingga 55 peratus dalam tempoh dua tahun.

“Kami tidak dapat meletakkan semuanya dalam satu bakul kerana setiap sektor mempunyai masa turun dan naik yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd di Kuala Lumpur, semalam.

Katanya, penyedia perkhidmatan kejuruteraan itu bertujuan menggandakan sumbangan hasil teknologinya pada 2021 yang dijangka RM350 juta tahun ini.

Sementara itu, Serba Dinamik dan Huawei Malaysia bekerjasama mencari penyelesaian inovatif dan mengembangkan industri digital dan kampus pintar di Malaysia.

Di bawah kerjasama itu, Huawei Malaysia menawarkan Serba Dinamik teknologi 5G, perkhidmatan awan dan kecerdasan buatan (AI) untuk merealisasikan transformasi digital yang terakhir.

Abdul Karim menambah, perjanjian itu mempercepat transformasi digital Serba Dinamik dalam industri minyak dan gas termasuk sektor tenaga boleh diperbaharui yang mempunyai syarat ketat dan menambah nilai.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Michael Yuan berkata, perkongsian dengan Serba Dinamik membantu mendorong hubungan di mana-mana dan membawa penyelesaian Cloud dan AI ke setiap pelosok Malaysia.

Katanya, Cloud dan AI Huawei menyediakan platform yang mudah digunakan dan asas teknologi yang kukuh untuk merealisasikan visi Serba Dinamik untuk sektor maklumat, teknologi komunikasi di Malaysia.