BETONG: Cadangan penubuhan Lembaga Pembangunan Pesisir Pantai(Coastal Development Authority) atau Agensi Pembangunan Pesisir Pantai(Coastal Development) antara usul penting yang dibentangkan pada Konvensyen Khas PBB Zon Betong, hari ini.

Naib Yang Dipertua PBB Datuk Julaihi Narawi berkata, usul tersebut diutarakan bagi mengurus serta membangunkan perkembangan yang dilakukan kawasan pesisir itu.

“Sekiranya dipersetujui, Lembaga atau Agensi tersebut akan dipengerusikan sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg bersama wakil-wakil rakyat serta golongan pakar profesional kawasan pesisir yang berkaitan sebagai ahli-ahlinya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul bersempena Konvensyen Khas PBB Zon Betong di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan.

Tambahnya, pembinaan sistem tebatan banjir dan sistem saliran parit yang lebih baik turut ditekankan.

Katanya, ia sebagai penyelesaian masalah banjir di samping membantu pihak pengusaha ladang tanaman luas yang tidak mempunyai bekalan air kekal seperti sebelumnya.

Kesemua perwakilan bersetuju dengan usul-usul yang dibentangkan untuk diserahkan kepada Abang Johari.

Antaranya adalah pembinaan menara telekomunikasi serta menaik taraf langganan perkhidmatan di kawasan luar bandar kepada 4G.

Tapak Agro dibangunkan di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak.

Penubuhan Pusat Memungut, Memproses dan Membungkus(CPPC) serta lebih banyak Pusat Borong barang-barang hasil produk pertanian dan produk hiliran di kawasan strategik di luar bandar.

Perlaksanaan pindaan kepada Kanun Tanah Sarawak yang mempertahankan hak tanah adat bumiputera (NCR) dan seterusnya memberi pengiktirafan dan penguatkuasaan undang-undang kepada Kawasan Liputan Pribumi atau Native Territorial Domain (NTD).