BETONG: Adun Kabong Mohd. Chee Kadir memberi jaminan kemunculan parti baharu tidak menggugat kesatuan anggota Parti PBB di kawasannya.

Menurutnya, hanya GPS yang ditunjangi Parti PBB dilihat sebagai sebuah parti yang dapat memajukan kawasan luar bandar seperti Kabong.

“Justeru, rakyat harus memberikan mandat kepada kerajaan sedia ada agar dapat terus memerintah demi merealisasikan agenda pembangunan kawasan luar bandar,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.

Kerajaan jelasnya, kini hendaklah memastikan kesemua projek yang dirancang dilaksana dan disiapkan mengikut jadual lebih-lebih lagi melibatkan kemudahan asas seperti bekalan air.

Ditanya tentang Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, beliau menyifatkannya sebagai pemimpin yang mudah didampingi.

“Abang Johari seorang yang sentiasa bersedia mendengar masalah rakyat dan memberikan perhatian sewajarnya untuk penyelesaian.

“Juga seorang pemimpin bervisi jelas dan diyakini berupaya membawa Sarawak menjadi negeri maju menjelang 2030 dengan perancangan yang rapi,” ujarnya.

Chee berharap jentera parti memanfaatkan sesi konvensyen ini sebagai persediaan menghadapi PRN-12 dan ini merupakan platform penting bagi semua anggota Parti PBB.

Beliau dalam pada itu mengingatkan rakyat agar tidak mudah terpedaya dengan janji manis pembangkang yang mempunyai agenda tersendiri.