DOKTOR, jururawat, polis dan tentera antara wira yang disebut-sebut ketika negara berdepan dengan ancaman penularan Covid-19 bermula awal tahun ini.

Pelbagai pengorbanan dilakukan oleh mereka demi memastikan negara berada dalam keadaan terkawal.

Namun, yang ingin diketengahkan di sini ialah hero tidak didendang.

Di Malaysia, banyak individu biasa menunjukkan kebolehan luar biasa, lebih-lebih lagi semasa negara ditimpa musibah.

Daripada penghantar makanan hingga tukang cuci di hospital, tetapi ada lagi wira yang tidak menjadi buah mulut.

Mereka bukan pengamal perubatan dan bukan juga seorang penguat kuasa, namun sumbangannya mampu menyelamatkan nyawa.

Menderma darah semasa virus sedang mengganas pasti memerlukan satu bentuk keberanian besar.

Ketika orang mengelak untuk berada di luar, bayangkan perasaan jika pergi ke hospital yang jelas tempat ujian atau pusat rawatan pesakit Covid-19.

Pada Mei lepas, pengarah Pusat Darah Negara (PDN) pernah menyuarakan kebimbangan penurunan 40 peratus stok bekalan darah apabila ramai yang takut menderma darah semasa penularan Covid-19.

Katanya, jika trend ini berterusan, hospital di seluruh negara bakal menghadapi situasi sukar terutama pada musim perayaan.

Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebanyak 16,500 beg darah berjaya didermakan pada setiap bulan, tetapi hanya 10,000 beg darah dalam tempoh PKP.

Syukur di negara ini, ketakutan tidak menghalang segelintir rakyat untuk tampil ke hadapan bagi membantu golongan yang memerlukan.

Oleh itu, Pakar Perubatan Transfusi Pusat Darah Negara Dr Norasrina Ishak dalam satu sesi temu ramah menzahirkan rasa terima kasih kepada rakyat Malaysia yang sudi menderma darah, berikutan kegusaran pihak hospital yang dijangka mengalami kekurangan bekalan darah akibat tempoh PKP yang terlalu lama.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dalam satu kenyataan pada Jun lalu pula menggesa seluruh dunia melabur dalam pembangunan infrastruktur dan kempen kesedaran awam bagi meningkatkan bilangan penderma darah bagi membendung pandemik Covid-19.

Pengarah WHO Afrika Matshidiso Moeti berkata, kerajaan seharusnya mengeluarkan insentif untuk menggalakkan program derma darah bagi mengelakkan situasi kekurangan bekalan darah ketika menghadapi Covid-19.

Di Miri, dari 25 Mac hingga 19 September lalu, seramai 2,218 orang hadir di Persatuan Bulan Sabit Merah Cabang Miri manakala penderma yang layak pula sebanyak 1,871 orang.

Ini membuktikan, walaupun berada dalam keadaan yang sentiasa dibelenggu kerisauan akan jangkitan virus Covid-19, masih ada yang sanggup datang untuk menderma darah.

Sebenarnya, kita tidak perlu risau kerana kerajaan telah memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP), sesuai dengan situasi sekarang.

Jadi, setiap aktiviti boleh dilaksanakan dengan syarat mematuhi SOP.

Dalam hal ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dalam satu klip video berdurasi dua minit sebelum ini mengingatkan rakyat untuk membudayakan norma baharu dalam usaha memerangi Covid-19 melalui amalan kebersihan diri dan persekitaran, penjarakan fizikal dan kepatuhan kepada SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

Bukan itu sahaja, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah turut menggalakkan orang ramai yang ingin menderma supaya menghubungi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan akan menggerakkan petugas kesihatan ke rumah dan kediaman untuk mengambil darah penderma.

Kesimpulannya, amalan mulia itu wajar diteruskan, walaupun berdepan dengan penularan pandemik kerana SOP yang betul telah ditetapkan di setiap hospital, pusat atau klinik kesihatan.

Stok bekalan darah amat penting, apatah lagi dalam perkembangan situasi Covid-19 dalam negara ketika ini.

Maka menderma darah secara berkala amat penting bagi menampung keperluan darah setiap hari.