SARIKEI: Tiada apa mampu diungkapkan melainkan ucapan terima kasih atas keprihatinan dan sumbangan yang dihulurkan, kata Setiausaha Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Kuala Rajang, Dayangku Mariam Awang Masli.

Menurutnya, sumbangan berterusan ADUN N.41 Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh, banyak membantu usaha mereka menyantuni anak-anak asnaf berkenaan.

Dayang Mariam berkata, sejak beberapa tahun lalu, Saberkas Kuala Rajang menganjurkan pelbagai aktiviti untuk menceriakan golongan tersebut.

“Selain menghulurkan sumbangan pada musim perayaan, kita juga menyalurkan bantuan persekolahan bagi meringankan beban penjaga anak-anak yatim ini di samping memastikan mereka tidak tercicir dalam arus pendidikan.

“Saya mewakili Saberkas Kuala Rajang ingin mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat (YB) Datu Len Talif yang tidak putus-putus menghulurkan sumbangan dan banyak berjasa membantu usaha kami,” katanya kepada Suara Sarawak.

Beliau menjelaskan, anak-anak asnaf terdiri daripada mereka kurang berkemampuan dan anak yatim yang layak menerima bantuan zakat.

Katanya, usaha menyantuni golongan tersebut bukan sahaja menceriakan mereka malah mampu memantapkan sahsiah di samping memberikan impak positif kepada pembinaan modal insan dalam tempoh jangka panjang.

Dayang Mariam memberitahu, Saberkas Kuala Rajang merupakan sebuah pertubuhan sukarela yang cukup aktif menganjurkan pelbagai program dengan melibatkan penyertaan belia setempat.

Katanya, usaha itu merupakan salah satu inisiatif bagi memperkasakan potensi golongan muda melalui pelbagai ruang supaya menjadi individu berkualiti dan mampu menyumbangkan sesuatu yang berguna kepada masyarakat.

“Majlis tahlil pada setiap Jumaat juga sebahagian tanda ingatan ikhlas YB Datu Len Talif terhadap anak-anak asnaf ini. Semoga dengan doa yang kita hulurkan, mereka menjadi insan yang berjaya suatu hari kelak.

“Kejayaan penganjuran program ini juga terhasil daripada kerjasama baik antara Saberkas dan PBB N41 Kuala Rajang. Saya berharap ia dapat diteruskan pada masa-masa akan datang,” katanya.