SRI AMAN: Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sarawak komited menganjurkan Karnival Kerjaya untuk membantu pencari kerja mendapatkan pekerjaan mengikut kelayakan, kemahiran dan kebolehan masingmasing.

Pengarahnya Awang Raduan Awang Omar berkata, temu duga terbuka turut diadakan sepanjang program itu berlangsung.

“Program ini turut menjadi platform majikan sektor swasta mencari calon pekerja yang berpotensi bagi mengisi kekosongan jawatan sedia ada,” katanya pada program Karnival Kerjaya Bahagian Sri Aman di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Simanggang, di sini semalam.

Tambahnya, 14 majikan dari sektor swasta menyertai program tersebut semalam dengan menawarkan 1,976 kekosongan jawatan dalam pelbagai sektor dan industri.

“Daripada jumlah tersebut, 44 kekosongan untuk calon siswazah manakala 1,932 kekosongan jawatan bagi kategori calon bukan siswazah.

“Antara jenis jawatan yang ditawarkan bagi calon siswazah ialah Pegawai Sumber Manusia, Pelatih Pengurusan, Jurutera Reka Bentuk, Jurutera Sivil, Eksekutif Pemasaran dan sebagainya.

“Manakala, bagi calon pencari kerja bukan siswazah jawatan kosong yang ditawarkan seperti Operator Bulldozer, Operator Excavator, Operator Dump Truck, Operator Pengeluaran dan lain-lain,” jelasnya.

Beliau mendedahkan, Program Karnival Mini Kerjaya Bahagian Sri Aman kali ini membawa dua konsep temu duga iaitu temu duga secara bersemuka yang melibatkan 12 majikan serta konsep temu duga secara virtual menggunakan aplikasi Zoom yang melibatkan dua majikan.

“Penggunaan aplikasi zoom sangat membantu dalam mengurangkan kesesakan di tapak program, namun masih lagi memberi peluang kepada pencari kerja untuk ditemu duga selain menarik minat majikan terutamanya dari Semenanjung untuk menawarkan kekosongan jawatan.

“Antara majikan yang akan mengadakan temu duga secara bersemuka semasa program ini berlangsung ialah Ambang Wira Sdn Bhd, Askar Wataniah Kem Pakit III, Gezhouba Engneering (Malaysia) Sdn Bhd dan Jabil Circuit Sdn Bhd.

“Manakala majikan yang memilih untuk mengadakan temu duga secara virtual mengguna kan aplikasi Zoom ialah Agensi Pekerjaan Yukim Holdings Sdn Bhd dan Flextronics Technology (Penang) Sdn Bhd,” katanya.

Beliau memberitahu, pelbagai aktiviti turut diadakan sepanjang program iaitu aktiviti pendaftaran pencari kerja secara dalam talian di portal MyFutureJobs dan khidmat nasihat perburuhan.

Awang Raduan juga menyeru semua pencari kerja khususnya di sekitar Bintulu dan kawasan berdekatan tidak melepaskan peluang untuk hadir ke program ini bagi menghadiri temu duga bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.

JTK Sarawak bakal mengadakan empat lagi program seperti ini sehingga akhir Oktober depan di Miri, Serian, Lawas dan Kuching.