BETONG: Kerajaan GPS tidak pernah bersifat berat sebelah setelah peruntukan besar diagihkan bagi penyediaan kemudahan infrastruktur serta kemudahan asas kepada penduduk luar bandar.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, ia terbukti menerusi rekod bajet negeri dari 2017 hingga 2020 menyaksikan dana besar dikeluarkan untuk membawa banyak infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, projek api, air dan kemudahan ke kawasan terbabit.

“Sebagai contoh, dalam Bajet 2019 sebanyak RM9.073 bilion telah diperuntukan.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM6.049 bilion bersamaan 67 peratus adalah untuk pembangunan luar bandar.

“Ini diteruskan lagi di dalam Bajet 2020 dengan peruntukan keseluruhan RM9.891 bilion, dengan RM4.141 bilion dikhaskan untuk pembangunan luar bandar.

“Ini juga termasuk RM5.192 bilion untuk projek api dan air, RM5.145 bilion untuk jambatan, RM797 juta untuk sektor pertanian manakala RM40.5 juta untuk membaik pulih sekolah daif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Khas PBB Zon Betong, semalam.

Tambahnya, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg juga berjaya menyelesaikan masalah berkaitan tanah dengan bertindak meminda Kanun Tanah Sarawak bagi mempertahankan tanah NCR serta mengiktiraf konsep Pulau Galau dan Pemakai Menua.

“Ketua Menteri turut memperuntukan sebanyak RM40 juta untuk operasi pengukuran tanah NCR di mana beliau sedar bahawa pemilik tanah tersebut mengkehendakinya diukur,” tambahnya lagi.

Uggah dalam pada itu turut mengesahkan Ketua Menteri meluluskan peruntukan sebanyak RM2.5 bilion menerusi Bantuan Sarawakku Sayang bagi membantu rakyat dalam menghadapi pandemik Covid-19.

Dedahnya, bantuan tersebut telah disampaikan melalui pemberian makanan dan dalam bentuk kewangan.