KUCHING: Tindakan berani seorang wanita mengejar lalu menarik baju peragut yang cuba melarikan beg tangannya berhasil setelah motosikal yang dinaiki oleh kedua-dua suspek itu terbabas di bahu jalan.

Mangsa, 37, ketika kejadian dalam perjalanan balik ke rumah dengan menunggang motosikal melintasi kawasan Jalan Ajibah Abol sekitar jam 11.45 pagi.

Kedua-dua suspek yang masih terbaring di bahu jalan tidak sempat melarikan diri lalu dicekup oleh orang awam di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata, suspek masing-masing berusia 22 dan 44 tahun itu kini telah pun diserahkan oleh pihak awam kepada pasukan kereta peronda polis(MPV) yang tiba di lokasi.

“Hasil laporan mendapati kejadian bermula apabila suspek cuba meragut sebuah beg tangan yang berada di dalam bakul hadapan motosikal yang ditunggangi mangsa.

“Seterusnya berlaku aksi kejar-mengejar di antara motosikal suspek dan mangsa.

“Tindakan mangsa menarik baju salah seorang suspek yang membonceng motosikal tersebut hingga menyebabkan mangsa serta kedua-dua suspek terbabas dan jatuh di bahu jalan,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Susulan kejadian itu katanya, mangsa mengalami luka di bahagian kepala kiri, calar di siku kanan dan kiri serta calar di lutut kanan.

Tambahnya, kedua-dua suspek turut mengalami kecederaan dan salah seorang daripadanya patah tangan kanan serta kaki kiri.

Dalam pada itu, Awang Din mengesahkan kedua-dua suspek telah pun ditahan dan akan direman dalam masa yang terdekat.

Dedah beliau, semakan rekod mendapati salah seorang daripada suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan pernah dijatuhkan hukuman penjara.

Ujarnya, siasatan terhadap kes kini sedang dijalankan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.