SARIKEI: Transformasi pembangunan menuntut warga pendidik mempersiapkan diri dengan pelbagai ilmu supaya lebih kreatif dan produktif.

Adun Repok Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata, perubahan masa dan arus pemodenan menjadikan tanggungjawab dan peranan golongan pendidik hari ini semakin berat dan mencabar.

Selaras dengan perkembangan itu katanya, guru perlu meningkatkan pengetahuan di samping rela berkorban demi meningkatkan imej dan profesion murni itu.

“Pendekatan kecemerlangan harus menjurus ke arah intensif modal insan, bersifat global dan mementingkan ilmu pengetahuan dalam era informasi dan digital.

“Pada masa yang sama, warga pendidik perlu mengambil kira pemahaman terhadap cara belajar Generasi Z,” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2019 dan Apresiasi Hari Guru 2020 PPD Sarikei, kelmarin.

Beliau berkata, setiap guru wajar mempunyai kemahiran tinggi dalam menyelesaikan masalah di bilik darjah dan sekolah.

Menurutnya, guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi juga berperanan membentuk pelajar supaya menjadi individu cemerlang dalam segenap bidang.

“Sebagai wakil rakyat kawasan Repok, saya melihat pendidikan sebagai asas penting untuk membentuk jati diri anak bangsa kita.

“Oleh itu, saya amat menghargai usaha gigih semua warga pendidikan dan masyarakat dalam menyediakan pendidikan berkualiti.

“Sehubungan itu, saya gembira dan bersyukur kerana berpeluang membantu semua sekolah rendah dan menengah di bawah jagaan saya sejak menjadi Adun di Repok.

Bagi saya, ini merupakan satu penghargaan yang tidak ternilai,” katanya.

Huang memberitahu, kesungguhan Kerajaan Sarawak dalam memartabatkan dunia pendidikan terbukti dengan usaha menaik taraf kemudahan demi memastikan warga sekolah menimba ilmu dalam suasana lebih selesa.

“Kita sangat beruntung dan amat berterima kasih kepada Ketua Menteri Sarawak yang sentiasa mementingkan pendidikan anak Sarawak dengan menyalur peruntukan kepada sekolah-sekolah di kawasan Repok melalui pelbagai projek,” tambahnya.