KUCHING: Kompleks Muzium Sarawak yang baru dibina dengan kos RM308 juta bakal dibuka kepada orang awam pada April tahun depan dan menjadi destinasi wajib bagi sesiapa yang berkunjung ke Kuching.

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, sepatutnya pembukaan muzium baharu tersebut dijadual pada Disember ini, namun kerana pandemik Covid-19, ia  ditangguhkan pada 2021.

“Muzium ini dijangka penempatkan lebih ribuan artifak pelbagai suku kaum etnik yang ada di Sarawak.

“Pada masa ini, proses mengatur artifak ke muzium berjalan dengan lancar.

Misalnya, Kelidieng ini antara artifak yang akan dimasukkan ke dalam muzium yang bakal dirasmikan pada April 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan upacara ritual memindahkan Kelidieng artifak suku kaum Melanau yang disimpan di Sekama ke tapak pekarangan Kompleks Muzium Sarawak di sini
semalam.

Jelas Karim, Kelidieng merupakan sejenis tiang yang digelar tiang korban diperbuat daripada kayu belian. Ia milik etnik Melanau Liko di Kampung Ud Dalat dan dibawa ke Kuching pada 1962 dan disimpan di Sekama sehinggalah dipindahkan ke muzium tersebut semalam.

“Kelidieng satu khazanah etnik Melanau berusia lebih 200 tahun.

Sebelum dibawa ke sini, ia melalui proses pembersihan dan dikemaskan dan akan dimasukkan ke tingkat satu.

Kelidieng akan berdiri megah di muzium ini dan pastinya kerja untuk mendirikannya nanti juga memerlukan upacara ritual.

“Kita bawa dukun mahupun pewarisnya dari Dalat bersama-sama kumpulan ‘begadeng’ pada hari ini,” ujarnya.

Tambahnya lagi, upacara ritual berkenaan penting bagi membantu melancarkan proses membawa khazanah pelbagai etnik, di samping mendapat restu daripada semangat mereka yang terdahulu.

“Kelidieng kedua yang ada di muzium lama milik Orang Ulu juga akan dibawa ke muzium ini.

“Ia juga melalui proses ritual sama mengikut suku kaum Punan.

Satu lagi barang purba yang lain ialah bot perang bagi etnik Iban yang bakal melalui ritual miring,” jelasnya.

Abdul Karim menjelaskan, bayaran masuk ke muzium berkenaan belum ditetapkan, namun kadar berbeza akan dikenakan kepada pengunjung tempatan dan luar Sarawak termasuk warga asing.

“Ini salah satu cara mendidik generasi muda di negeri ini supaya mereka mempelajari budaya Sarawak dengan lebih dekat,” katanya.

Muzium Sarawak baharu terletak di tengah pusat bandar berdekatan kawasan segi tiga emas.

Pembukaannya dijangka memberi impak besar kepada pelancongan Sarawak kerana berada betul-betul di jantung kota.