Lemang Betawi merupakan lemang yang dibuat menggunakan daun pisang tanpa menggunakan buluh.

Mohd Saiful Bahari Rosli usahawan lemang telah menceburkan diri dalam bidang ini selama 10 tahun.

Konsep lemang yang dibawa berlainan dengan lemang biasa kerana tidak menggunakan buluh, menyebabkannya lebih murah, berbanding lemang biasa.

Beliau berkata bahawa lemang yang dibuat dengan cara ini jarang rosak berbanding dengan lemang buluh.

“Risiko lemang hangus, rosak atau terbakar adalah kurang.

“Lemang ini juga boleh bertahan selama dua minggu… malah sehingga sebulan sekiranya diletakkan di dalam peti sejuk.

“Keistimewaan lain, lemang ini mudah untuk dibuat dan dibuka oleh kanak-kanak kerana tidak melibatkan buluh,” katanya.

Lemang Betawi menjadi pilihan kerana sajian boleh dipelbagaikan seperti dibakar, ditambah inti ayam atau daging.

“Permintaan terhadap Lemang Betawi ini sangat tinggi.

Kami pernah menjual sehingga 5,000 batang sehari ketika Hari Raya Aidilfitri.

“Sepanjang bulan puasa pula kami telah menggunakan 2.5 tan beras pulut,” jelasnya.

Beliau menambah, hanya sedikit sahaja yang dijual melalui dalam talian dan perkhidmatan penghantaran dibuat secara percuma.

Sejarah Lemang Betawi Saiful bermula secara kecil-kecilan dengan bermodalkan RM50 sahaja.

Bermula di Kota Samarahan apabila mereka sukar untuk mendapatkan bekalan buluh atau harga buluh terlalu mahal.

Bapa mentuanya mencadangkan untuk membuat konsep Lemang Betawi dari Indonesia dan dijual secara kecil-kecilan.

Menurutnya, masyarakat Betawi dahulu membuat Lemang Betawi sebagai bekalan ke kebun atau merantau dengan saiz yang kecil supaya mudah dibawa.

Namun beliau mengolah lemang tersebut menjadi saiz yang lebih panjang iaitu 18 inci dan menjenamakan produknya sebagai Saiful Betawi.

Dengan harga lemang satu batang RM6, beliau membuat harga promosi dua batang RM10 dengan memberi kuah kacang percuma.

Tambahnya, harga tersebut sangat murah kerana faham ekonomi penduduk setempat tidak bergitu baik.

“Kalau kami boleh menjangka jualan hebat, kami akan menjual RM10 untuk tiga batang lemang.

“Bagi saya, membayar gaji sendiri dan gaji pekerja adalah keutamaan lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19 ini.

“Kita tidak dapat hanya mengharapkan bantuan, perniagaan ini harus diteruskan biarpun permintaan berkurangan,” ujarnya.

Saiful berharap agar penjualan Lemang Betawi diteruskan di Sarawak.

“Saya bersedia menjadi ‘cikgu’ sekiranya ada yang ingin belajar membuat Lemang Betawi.

“Ramai usahawan lain yang cuba menjual Lemang Betawi tetapi terhenti setengah jalan.

“Mungkin disebabkan penat atau sukar untuk mendapatkan daun pisang.

“Siapa yang berniaga dalam bidang ini saya percaya boleh maju kerana lemang sebegini sangat digemari pelanggan,” tambahnya.

Saiful juga berharap agar terdapat agensi yang berkenaan melihat perniagaan berkonsepkan pulut ini untuk mendapat bantuan seperti yang diterima oleh usahawan ikan terubuk dan kek lapis.

“Saya pernah berfikir untuk membuka gerai kecil bagi menukar jenis jualan kerana sejujurnya sangat penat.

“Namun sekiranya saya berbuat demikian, mungkin perniagaan ini akan terhenti kerana saya sudah beralih fokus kepada gerai.

“Disebabkan tekad dan kekuatan diri, saya teruskan perjalanan Lemang Betawi ini.

Menurut Saiful, sekiranya diberikan bantuan berbentuk penyimpanan lemang, mesin memerah santan, perniagaannya akan lebih kukuh dan tahan lama.

“Sekiranya dibantu oleh pihak berkenaan dari segi mesin yang memudahkan kerja pembuatan lemang ini, saya yakin perniagaan ini boleh pergi lebih jauh membawa jenama usahawan Sarawak,” katanya.