BETONG: Usaha Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk mendapatkan lesen perbankan digital daripada Bank Negara Malaysia untuk memastikan Sarawak terlibat dari A hingga Z dalam sektor digital.

Pengurus Besar SMA Dr. Zaidi Razak berkata, ia satu kemajuan yang baik untuk Sarawak.

“Kita melabur dalam hab inovasi, digital inklusiviti serta melakukan lebih 6,000 program sejak 2017 untuk pendigitalan.

“Jadi, usaha Abang Johari memohon lesen tersebut untuk membawa Sarawak lebih ke depan,” katanya ditemui selepas Majlis Pelancaran Menara dan Perkhidmatan Telekomunikasi Smart 300 di Luban Ulu, semalam.

Jelasnya, jika permohonan lesen perbankan digital diluluskan, kesemua transaksi akan menggunakan cara baharu.

“Apa yang saya faham hasil perbincangan bersama Bank Negara Malaysia, ia melibatkan urusan yang kesemuanya menggunakan digital… tiada cawangan, iklan dan sebarang transaksi termasuk urusan pinjaman melalui digital.

“Ini penting bagi memastikan konektiviti terus kepada rakyat.

Zaidi menambah, Kerajaan Sarawak merupakan negeri pertama yang mempunyai e-dompet sendiri melalui aplikasi Sarawak Pay.

Di Bahagian Betong katanya lagi, sebanyak 31 menara telah siap sementara lima lagi masih dalam pembinaan.