KUCHING: GHC Bikes telah melancarkan sebuah motosikal keluaran GPX, Pop’z Classic bagi penggemar motosikal klasik di sini, semalam.

GPX merupakan produk motosikal keluaran Thailand yang berkonsepkan klasik dari segi warna dan reka bentuk.

Pengarah Pemasaran GHC Bikers Abang Sayyidi berkata, mereka merupakan satu-satunya pembekal motosikal GPX Pop’z Classic di Sarawak.

“Bagi peminat motosikal klasik, produk GPX amat bersesuaian untuk mereka kerana warna dan reka bentuk berbeza daripada motosikal moden.

“Saya berharap pasaran motosikal ini mendapat tempat dalam kalangan masyarakat terutamanya peminat motosikal klasik,” katanya.

Sementara itu, penguji motosikal, Luqman Simon akan membawa motosikal GPX Pop’z Classic menjelajah Sarawak bermula dari Kuching hingga ke Miri dan akan berpatah balik untuk majlis pelancaran di Sibu pada Sabtu.

“Sebelum ini saya telah menguji banyak motosikal.

Apabila saya menguji motosikal Pop’z ini dalam jarak dekat, ia sangat memuaskan hati.

“Selasa nanti saya mula menguji dalam jarak jauh untuk menjelajah Sarawak,” katanya.

Majlis ini mengumpul pengguna motosikal klasik dari kumpulan GPX untuk mempamerkan motosikal masing-masing.

Turut hadir Penyampai Radio Era Sarawak Napio Hatta selaku tetamu khas bagi meriahkan lagi majlis pelancaran.