BETONG: Keseluruhan kawasan di Zon Betong dijangka mendapat 100 peratus liputan bekalan elektrik menjelang tahun hadapan.

Menteri Utiliti Datuk Seri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, ketika ini liputan mencapai 95.3 peratus dengan 198 isi rumah disambungkan dengan RES Last Mile dan 136 isi rumah melalui Sares.

“Jadi dengan terhubungnya 1,475 isi rumah yang masih tiada bekalan elektrik kepada RES Last Mile tahun hadapan akan menjadikan kawasan Zon Betong mendapat 100 peratus liputan,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden PBB berkata demikian dalam sesi perkongsian strategik sempena Konvensyen Khas PBB Zon Betong di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, semalam.

Jelasnya, untuk keseluruhan Sarawak capaian meliputi 97 peratus dengan kawasan luar bandar 93 peratus.

Ujarnya, Kerajaan Sarawak melalui beberapa strategi seperti Projek Rakyat yang meliputi RES, Sares, pembinaan sub stesen dan Alaf.

Menyentuh pelaksanaan Alaf di Zon Betong, 52 projek telah siap, lapan sedang dilaksanakan dan 120 projek masih menunggu.