BETONG: Presiden PBB Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengulangi prinsip Kerajaan GPS untuk fokus kepada pembangunan luar bandar.

Justeru, berpolitik harus ada etika dan jangan suka mencetus politik huru-hara.

“Politik jangan banyak gilak, banyak gilak politik huru-hara sebaliknya rakyat yang akan menerima kesan buruknya.

“Beberapa hari lalu kecoh dengan pemimpin yang berebut hendak menjadi perdana menteri.

“Pergolakan politik Malaysia bukan berpunca dari Sarawak. Tindakan perdana menteri yang meletak jawatan kerana mereka mempunyai perjanjian… selepas dua tahun, jawatan perdana menteri diserahkan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Namun ada ahli yang setuju dan tidak bersetuju.

“Ironinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiada dalam senarai tetapi kerana menginginkan Malaysia yang stabil, GPS sokong beliau sebagai Perdana Menteri.

“Ini bukan peribadi kerana saya percaya kita cuma merancang, Tuhan yang menentukan.

“Begitu juga apabila rakyat telah memberikan mandat dan kuasa, kita bekerja.

Apabila sampai masa berpilih, serahkan sahaja kepada rakyat,” katanya pada Konvensyen Khas PBB Zon Betong di sini, semalam.

Ketua Menteri menggambarkan PRN-12 mungkin semakin hampir apabila pelbagai siri konvensyen diadakan.

Bagaimanapun, beliau masih enggan mendedahkannya.

“Saya tahu pilihan raya, tetapi tidak tahu bila.

Selalunya apabila musim peperiksaan semakin dekat, maka diadakan ulang kaji sebagai persediaan.

“Begitu juga kita ini sedang mengulang kaji (berkonvensyen).

Saya yakin kita akan lulus dalam peperiksaan yang datang doakan agar Sarawak terus maju,” tambahnya bersemangat.

Beliau percaya Sarawak memiliki masa depan yang cerah dengan pendapatan yang akan bertambah setiap tahun.

“Justeru, bersamalah kita jaga PBB. Saya sebagai pemimpin mempunyai tanggungjawab yang besar dan begitu juga anda di peringkat ranting mempunyai peranan sama.

“Tanggungjawab kita adalah untuk mempertahankan keamanan sedia ada,” jelasnya.